Paling Popular
Terkini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
Ada apa dengan tulisan Cina di pejabat Guan Eng?

ULASAN | Saya terpanggil untuk mengulas tentang perkara yang berlegar di minda saya. Ia mengenai gambar yang tersebar menunjukkan ungkapan bahasa Cina ditampal pada dinding dalam pejabat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Orang yang sinis sudah tentu akan kata saya mahu membela setiausaha agung parti saya. Saya tidak dapat lari daripada tuduhan seperti itu.

Justeru saya cuma minta anda baca dengan hati terbuka.

Saya terbaca komen dalam Facebook bahawa tulisan bahasa Cina dalam pejabat itu "macam dekat Beijing", dan ia seperti suatu penghinaan kepada bahasa kebangsaan.

Sekejap. Mengapa ini boleh menjadi jadi isu bahasa kebangsaan pula?

Saya anggap diri saya sebagai seorang yang ghairah mahu memartabatkan bahasa Melayu. Kalau tidak percaya, anda boleh baca tulisan-tulisan saya sebelum ini.

Tetapi saya tidak faham mengapa ini menjadi isu menghormati bahasa kebangsaan pula?

Adakah kita cuba untuk tahu apa yang ditulis dalam bahasa Cina dan ditampal pada dinding pejabat Menteri Kewangan tersebut?

Ingin sedikit hiasan

Saya ada tanya, dan ungakapan-ungkapan tersebut boleh diterjemahkan secara mudah menjadi begini: “Apabila insan tidak bersengkata dan keluarga aman, maka semua urusan perniagaan akan membawa keuntungan" dan "Negara yang berjaya dan makmur akan menjurus kepada kebahagiaan.”

Dalam bahasa Inggeris ianya adalah antithetical couplet, ungkapan puisi berkembar.

Biasanya ia digantung pada kedua-dua belah pintu masuk sesebuah rumah untuk memberi ‘ong’ kepada penghuninya. Anda boleh buat carian dalam Wikipedia mengenai hal ini.

Ya, kita mungkin tidak percaya akan perkara-perkara seperti ini, dan saya pun tidak tahu sama ada Menteri Kewangan sendiri percaya atau tidak, tetapi ini adalah sebahagian daripada budaya masyarakat Cina.

Pada hemat saya, Menteri Kewangan ingin menghiasi sedikit pejabatnya dengan puisi atau ungkapan budayanya.

Adakah kita sampai pada suatu peringkat yang kita tidak boleh terima seseorangmenteri berbangsa Tionghua (atau India, Kadazandusun, Iban dan sebagainya) memperlihatkan walau secebis budaya mereka dalam pejabat sendiri?

(Selepas ini, adakah menteri tidak boleh letak ‘kalender kuda’ dalam pejabat sebab ada tulisan Cina?)

Sejak bila budaya Cina berhenti menjadi sebahagian daripada citra negara Malaysia ini?

(Orang Cina bukan hanya tinggal di Beijing sahaja, saudara.)

Ini bukan isu bahasa. Apa yang ditampal itu bukannya papan tanda dalam pejabat Menteri Kewangan. Tulisan Cina tersebut tidak diterjemahkan kepada ‘Selamat Datang ke Pejabat Menteri Kewangan Lim Guan Eng’, atau apa-apa yang sewaktu dengannya.

Ia adalah ekspresi budaya yang dizahirkan dalam bentuk perkataan Cina.


Baca Peguam: Kenapa Hadi bersungguh nak selesai saman luar mahkamah?


Samalah juga kalau kita ada pejabat, dan kita letak ayat-ayat al-Quran. Ia bukan untuk tujuan rasmi, tetapi kerana ia sebahagian daripada identiti kita, dan kita mahu mendapat ketenangan daripada ayat-ayat tersebut.

(Dalam pejabat Menteri Kewangan juga ada petikan daripada surah al-Hud)

Ya. Bahasa kebangsaan mesti digunakan dalam semua urusan rasmi. Ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini tidak boleh dipertikaikan. Tetapi ini bukan isu bahasa.

Menampal ungkapan Cina untuk membawa kemakmuran dalam pejabat tidak ada kena-mengena dengan urusan rasmi yang diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu tidak tergadai, terjejas atau diperlekehkan hanya kerana Lim Guan Eng mahu menghias sedikit pejabatnya dengan hiasan budaya Cina.


SYAHREDZAN JOHAN ialah peguam yang juga setiausaha politik kepada Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen