Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Nik Faisal telefon dari Shanghai, arah CEO tinggalkan Malaysia
Diterbitkan:  Jul 1, 2019 4:45 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

KES NAJIB l Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International Sdn Bhd., (SRC) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil membuat panggilan dari Shanghai, China, ketika memberi arahan kepadanya supaya meninggalkan Malaysia pada 2015.

Suboh Md Yassin, 68, berkata lokasi panggilan itu diketahui melalui paparan di telefon bimbitnya.

“Mengikut (apa) yang tertera di telefon, jika saya tidak silap, panggilan itu dari luar negara…dari Shanghai,” katanya pada hari ke-30 perbicaraan kes penyelewengan dana SRC membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Suboh, yang merupakan saksi ke-42 pendakwaan, berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff sama ada beliau tahu itu adalah panggilan tempatan atau dibuat dari luar negara.

Suboh sekali lagi disoal mengenai apa yang diperkatakan Nik Faisal ketika membuat panggilan itu dan saksi memberitahu bahawa Nik Faisal mahu beliau meninggalkan Malaysia.

Kepada soalan lain, saksi itu berkata: “Saya tak tahu apa sebabnya tapi saya kata saya dah bekerjasama dengan pihak berkuasa.”

Terdahulu, Suboh mengakui terdapat perbezaan dalam tandatangannya di dua surat arahan pemindahan wang kepada syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Menjawab soalan Ishak mengapa perkara itu berlaku, Suboh berkata ketika menandatangani sesuatu dokumen, beliau akan melakukannya “ikut sedap tangan.”

“Kerja tandatangan ini, kita ikut sedap tanganlah. Itu sebabnya, hasilnya begitulah,” kata Suboh sambil menambah meskipun berbeza, beliau pasti itu adalah tandatangannya.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, Suboh diminta menjelaskan apa yang dimaksudkan beliau dengan “ikut sedap” tersebut.

Muhammad Shafee: Apa maksud anda dengan ‘ikut sedap”. Kalau “sign” (tandatangan) biasa, sign biasalah, 'kenapa ikut sedap? Kadang-kadang orang Melayu kata I tenyeh saja?

Suboh: Yalah ikut sedap, biasa jelah.

Muhammad Shafee: Kenapa anda kata ikut sedap dan biasa. Saya katakan ia berbeza. Kini anda kata tandatangan biasa.

Suboh: Bagaimana nak saya katakan....

Muhammad Shafee: Sahaja beritahu kebenaran.

Suboh: Saya... apabila tandatangan dokumen itu, saya ikut sedap. Saya tak pasti ia normal ke tak.

Muhammad Shafee: Tandatangan anda mungkin berbeza-beza?

Suboh: Ya. Semua orang mempunyai variasi dalam tandatangan.

Muhammad Shafee: Dan ini termasuk anda?

Suboh: Ya.

Suboh kemudian bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa hanya robot sahaja yang boleh menurunkan tandatangan yang tidak akan berubah.

Suboh juga berkata tandatangan yang berbeza bergantung kepada keadaan ketika seseorang itu menurunkannya, sama ada sedang duduk, berdiri, tenang atau dalam keadaan tergesa-gesa.

Muhammad Shafee turut meminta Suboh menurunkan 30 tandatangan beliau di dua kertas kosong untuk melihat perbezaannya.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

- Bernama

Lihat Komen
ADS