Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid bawa penyokong masuk MT Umno
Diterbitkan:  Jul 2, 2019 8:30 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Dr Ahmad Zahid Hamidi melantik lima anggota baru Majlis Tertinggi (MT) Umno, dua hari selepas kembali menjalankan tugas sebagai presiden parti.

Sebahagian nama itu dilihat sebagai penyokong kepimpinan Zahid sebagai presiden dan juga Najib Razak.

Mereka ialah Ketua Umno Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Umno Hulu Langat Johan Abd Aziz; Ketua Umno Bagan Dr Shaik Hussein Mydin; Ketua Umno Sepanggar Yaakub Khan dan Ketua Umno Seputeh Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Pelantikan tersebut diumum Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan berkuat kuasa serta-merta selaras dengan Fasal 9.2.8 Perlembagaan Umno.

Dipercayai ia bagi menggantikan tiga anggota yang keluar parti Disember lalu, iaitu Hajiji Nor, Azizah Mohd Dun dan Anifah Aman.

"Adalah saya seperti diarahkan oleh Yb Datuk Seri Presiden Umno, mengumumkan pelantikan seperti berikut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Langkah itu dipercayai sebagai usaha Zahid untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam Umno.

Mohd Puad merupakan bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) merupakan 'orang kuat' Najib.

Walaupun pernah bergeser dengan Ahmad Zahid selepas digugurkan daripada pencalonan untuk PRU ke-14, beliau kembali mempertahankan kepimpinan Zahid selepas pemilihan tahun lalu.

Johan, Yaakub dan Shaik Hussein juga dilihat sebagai orang kuat Ahmad Zahid.

Sedikit persoalan berkenaan pelantikan Mohd Razlan. Beliau yang merupakan ketua pemuda Umno Wilayah Persekutuan pernah mengkritik kepimpinan Najib dan Zahid selepas PRU ke-14 dan termasuk dalam kem Tengku Razaleigh Hamzah ketika pemilihan parti.

Namun beliau juga terlibat dalam kempen kutipan derma untuk memberikan sokongan kewangan kepada Najib dalam kes mahkamahnya.

Beberapa jam sebelum Zahid mengumumkan penamatan cutinya, bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin - yang dilihat rapat dengan timbalan presiden Mohamad Hasan - berkata bekas timbalan perdana menteri itu sepatutnya berbincang dengan MT dahulu sebelum membuat keputusan.

Mohamad bagaimanapun menyambut baik langkah Zahid itu dan berkata ia dapat menutup mulut pihak yang mahu melaga-lagakan kepimpinan Umno.

Lihat Komen
ADS