MP PAS dakwa PH berhelah di balik RUU wajib isytihar harta
Usul pengisytiharan harta yang diwajibkan kepada wakil rakyat di Dewan Rakyat semalam hanyalah gimik politik untuk PH mendapatkan semula sokongan rakyat yang kian hilang, kata Anggota Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi.
Menurut beliau, usul tersebut dibuat dengan tergesa-gesa dan tanpa mengambil kira punca kuasa serta kaedah yang berkesan bagi mencapai matlamat sebenar.
"PAS tidak ada masalah langsung untuk semua ahli parlimen mengisytiharkan harta, tetapi apa kaitan kerajaan yang telus dengan pengistiharan harta ahli-ahli parlimen yang tidak ada kuasa eksekutif?
"Ia sekadar mendapat keuntungan politik (political mileage) apabila kononnya mereka serius untuk membentuk kerajaan yang telus dan membenteras rasuah," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam PAS menolak usul tersebut dengan menyifatkan tiada keperluan bagi anggota parlimen pembangkang mengisytiharkan harta, memandangkan mereka tiada akses kepada projek-projek melibatkan kerajaan.
Justeru kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS tidak akan menyokong usul tersebut kerana merasakan ia perlu diteliti terdahulu sebelum dibentang.
Bagaimanapun Dewan Rakyat semalam meluluskan usul tersebut sekali gus mewajibkan anggota parlimen mengisytiharkan harta masing-masing selepas tiada bantahan dibuat semasa undian.
Bukan perjuangkan ketelusan
Rang undang-undang itu diterima walaupun pada sebelumnya pembangkang bangkit berbahas untuk menolaknya. Antara lain mereka mendakwa usul itu tidak selari dengan peraturan dewan.
Sementara itu Che Abdullah berkata, pada sesi perbahasan usul terdapat wakil PH menyatakan anggota parlimen ada pengaruh dan boleh mempengaruhi.
Setiausaha PAS Kelantan itu juga mempersoalkan apakah menjadi masalah untuk seseorang anggota parlimen mempengaruhi kerana mereka yang tiada kuasa eksekutif, ia bukan kesalahan sama ada dari undang-undang barat mahupun undang-undang Islam.
Baca PAS: Isytihar harta boleh timbulkan rasa dengki
"Semua contoh yang disebut oleh pembahas dari pihak kerajaan tentang teguran pemilikan harta oleh pimpinan utama, adalah terhadap mereka yang dilantik kerajaan dan mempunyai kuasa eksekutif.
"Menteri semasa membentangkan usul ini merujuk janji ke-14 dalam Manifesto PRU14 PH mengenai usaha memperkasakan dan pembanterasan rasuah.
"Janji ke-14 itu menyebut dengan jelas bahawa PH akan memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan melaporkan terus kepada parlimen, bukan perdana menteri," katanya.
Namun tambah Che Abdullah, perkara itu tidak dilakukan oleh PH walaupun menteri dan beberapa ahli parlimen lain termasuk di pihak kerajaan bersemangat memperjuangkan ketelusan.
"Banyak kali ia disuarakan di parlimen dalam persidangan yang lalu. Jadi untuk menutup kebebalan itu dan mengaburi mata rakyat kononnya mereka memperjuangkan ketelusan, dengan tergesa-gesa mereka membawa usul itu yang sebenarnya tiada kaitan dengan ketelusan dalam erti kata sebenarnya.
"Mereka sebenarnya bukan pejuang ketelusan, jauh sekali penentang rasuah. Mereka hanyalah penyuci kepada rasuah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka," katanya.





