Paling Popular
Terkini

ULASAN | Ahad lalu Dr Ahmad Zahid Hamidi pastinya menjadi tumpuan ramai, - termasuk penganalisis politik kedai kopi - apabila beliau menamatkan teka-teki mengenai kedudukannya selaku presiden Umno.

Ketika banyak teori dan spekulasi berlegar, anggota parlimen Bagan Datuk itu menjawab tanda tanya itu dengan mengumumkan kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno selepas lebih enam bulan bercuti.

Ketika banyak ramalan mengatakan timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan akan terus menjalankan tugas Ahmad Zahid, di atas gelanggang sebenar, terjemahannya berbeda.

Kehadiran Ahmad Zahid kali ini agak berbeza. Pemimpin parti di pelbagai peringkat akur dengan keputusan beliau untuk kembali menjalankan tugas yang sempat dipikul sementara oleh bekas menteri besar Negeri Sembilan.

Jika ada yang lupa, Ketua Pemuda Umno - Dr Asyraf Wajdi Dusuki - ialah pemimpin peringkat tinggi pertama bersuara mahukan Ahmad Zahid berehat selepas berdepan pertuduhan di mahkamah.

Kali ini Asyraf Wajdi kelihatan akur dengan keputusan presidennya itu.

Begitu juga dengan Ketua Umno Tebrau, Maulizan Bujang, yang sebelum ini mendesak Ahmad Zahid supaya "melepaskan" Umno. Dia turut akur dengan keputusan Ahmad Zahid.

Saf berjaya dirapatkan

Cumanya, di sebalik ketundukan dengan keputusan itu, ada saranan dilontarkan kepada Ahmad Zahid. Beliau diminta dapat memperkukuhkan parti dan peka terhadap suara akar umbi yang menuntut perubahan.

Walaupun kehadiran Ahmad Zahid kali ini dalam suasana berbeza - pemimpin Umno yang lain dilihat lebih cool menerima khabar berkenaan - namun tugas besar lagi berat menanti presiden Umno itu.

Antaranya, beliau mesti memastikan parti yang menjadi tulang pinggul BN itu kembali relevan dan mampu memenangi hati rakyat.

Rekod cemerlang Mohamad yang berjaya memimpin tiga kemenangan BN dalam tiga pilihan raya kecil (PRK) pasti menjadi cabaran untuk Ahmad Zahid. Beliau perlu meneruskan momentum kecemerlangan itu apabila keadaan memerlukan.

Mohamad - ataupun lebih dikenali sebagai Mat Hasan ataupun Tok Mat - dalam tempoh enam bulan lalu sedikit sebanyak berjaya merapatkan saf kepemimpinan Umno.

Beliau juga berjaya menghentikan ribut yang membadai Umno apabila wakil rakyatnya secara beramai-ramai bertindak lompat parti.

Begitu juga citra dan pembawaan Mat Hasan sedikit sebanyak berjaya menarik kembali sokongan rakyat kepada Umno dan BN.

Mesra dengan Anwar

Justeru cabaran getir yang perlu digalas dengan penuh berhemah oleh Ahmad Zahid bukan saja untuk mengekalkan mahupun menarik lebih banyak lagi sokongan rakyat, malah memastikan kepemimpinan Umno di peringkat dalaman tidak bergolak dengan keputusannya itu.

Kembalinya Ahmad Zahid juga menarik perhatian terhadap usaha kerjasama ataupun penyatuan ummah di antara Umno dan PAS yang disemarakkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Di atas kertas, Umno dan PAS dilihat begitu semangat dan serius untuk menjayakan agenda itu bagi memastikan kerjasama dengan parti yang lain dalam BN membuahkan hasil.

Matlamat akhir mereka tentulah Putrajaya.

Apakah kerjasama Umno dan PAS akan terus utuh sehingga PRU ke-15? Itu tanda tanya yang menarik untuk difikirkan.

Sementara itu di sisi lain, umum mengetahui berbanding pemimpin lain dalam Umno, Ahmad Zahid dilihat lebih 'mesra' dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam usaha membentuk kerajaan.

Ia bukan lagi rahsia, malah tindakan segelintir wakil rakyat Umno melompat parti adalah disebabkan menolak agenda Ahmad Zahid ketika itu yang ingin membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP.

Malah, perkara itu didedahkan sendiri Anggota Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz, yang menjadi orang tengah kepada usaha itu.

PAS sebelum ini menyatakan pendiriannya menyokong Dr Mahathir Mohamad untuk terus menjadi perdana menteri sehingga PRU ke-15.

Malah, PAS secara tegas dan konsisten menolak Anwar sebagai perdana menteri kelapan meskipun terdapat perjanjian dalam PH untuk mengangkat anggota parlimen Port Dickson itu sebagai pengganti Mahathir.

Pemimpin Umno di peringkat akar umbi pula ketika ini secara umumnya cukup gembira dengan taawun ataupun tahaluf siyasi parti itu dengan PAS.

Jadi, jika agenda untuk membentuk kerajaan gabungan Umno, PKR dan DAP dihidupkan kembali, tampak laluan bagi kerjasama Umno dan PAS - yang kini bertaut - mampu kekal sehingga PRU-15.

Ahmad Zahid kini juga berdepan dengan 87 pertuduhan membabitkan isu pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.


Baca 'Umno kalah sekali terbenam, sekali lagi mungkin tertimbus'


Naratif politik yang dimainkan pemimpin Umno ialah, pertuduhan itu dipaparkan sebagai agenda untuk melemahkan Umno dengan menyerang pemimpinnya.

Soal bersalah atau tidak itu terserah pada mahkamah.

Naratif itu adalah lazim, sama seperti PKR mempertahankan Anwar - dan Azmin Ali - yang terpalit dengan tuduhan berkaitan skandal atas ranjang sebelum ini.

Anggota PKR tetap menolak perkara itu dan menyifatkannya sebagai fitnah.

Dari segi itu, sewajarnya anggota Umno mencontohi semangat PKR yang gigih mempertahankan pemimpin mereka dan yakin bahawa individu terbabit menjadi mangsa pihak tertentu.


Baca Cerita Lailatulqadar dan 'missed call' 25 Ramadan Zahid


Persoalannya, dengan 87 kes mahkamah dihadapi Ahmad Zahid, apakah beliau masih mempunyai masa untuk menguruskan pertuduhan di hadapinya di mahkamah dan pada masa sama bekerja untuk Umno.

Itu cabaran yang perlu Ahmad Zahid hadapi apabila ia membuat keputusan untuk kembali menduduki kerusi Umno.

Sejauh mana ia mampu menggalas cabaran itu, hanya beliau yang mempunyai jawapan.

Dengan kembalinya Ahmad Zahid juga pasti ramai akan tertunggu-tunggu peristiwa besar yang akan berlaku berdasarkan 'kasyaf' para ulama seperti yang pernah dinukilkannya sebelum ini.

Pada Feb lalu - dalam satu program - Ahmad Zahid memberi bayangan akan kembali memimpin parti itu selepas peristiwa besar berlaku dalam negara.


HASPAIZI ZAIN ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.

Lihat Komen
ADS