Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lantikan bekas pegawai Najib di Intan dibatalkan
Diterbitkan:  Jul 3, 2019 1:59 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Lantikan bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri yang berkhidmat di era Najib Razak, Iskandar Mohd Kaus sebagai pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) telah dibatalkan.

Sumber-sumber kerajaan memberitahu Malaysiakini bahawa surat pelantikan itu telah pun ditarik balik.

Pejabat Ketua Setiausaha Negara bagaimanapun ketika dihubungi enggan mengesahkan perkara itu tetapi berkata sidang media akan dibuat tidak lama lagi.

“Tunggu dulu.

“Kita akan buat sidang media untuk semua orang,” kata seorang pegawai di pejabat itu ketika dihubungi sebentar tadi.

Memetik Facebook Intan, Malaysiakini tengah hari ini melaporkan Iskandar dilantik sebagai pengarah Intan ke-17 berkuat kuasa mulai kelmarin.

Iskandar dilantik sebagai ketua setiausaha sulit perdana menteri menggantikan Shukry Mohd Salleh pada Oktober 2016.

Intan ialah agensi kerajaan pusat yang melatih penjawat awam dalam hal ehwal pengurusan dan pentadbiran.

Iskandar yang sebelum itu timbalan ketua setiausaha sulit perdana menteri mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan awam lebih 20 tahun.

Beliau yang menyertai per­khidmatan pegawai tadbir dan diplomatik pada Mac 1994 pernah menduduki beberapa jawatan termasuk ketua unit antarabangsa Intan.

Lihat Komen
ADS