Gabungan persatuan hak asasi pekerja domestik, Ke Arah 189 menuntut kerajaan menunjukkan komitmen yang lebih terhadap penggubalan akta khusus untuk pekerja domestik di Malaysia.

Kata wakil Ke Arah 189, Irene Xavier, biarpun kerajaan telah pun meminta pandangan mereka berhubung Peraturan Pekerja Domestik 2019 bawah Akta 1955, perkara itu tidak mencukupi kerana ia tidak melalui kelulusan Parlimen.

Irene mendakwa Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran tidak berjaya mencapai apa-apa untuk kebajikan pekerja domestik.

“Peraturan bukannya akta. [...]

“Dia tidak berjaya mencapai apa-apa, setakat yang kami tahu. Dia tidak memanggil kami untuk rundingan, tiada perjumpaan dengan pihak-pihak berkepentingan, tiada apa-apa.

“Mungkin akan ambil masa bertahun-tahun sebelum dia mulakan kerja terhadap perkara ini. Jadi kami nak ingatkan dia, kami sedang menunggu,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, kata Irene, Ke Arah 189 telah memberikan maklum balas kepada kementeriaan berhubung cadangan mereka untuk penambahbaikan undang-undang terhadap pekerja domestik.

“Kami minta kerajaan luluskan segera peraturan pekerja domestik (di bawah Akta Kerja 1955), yang akan menjadi usaha sementara dalam kita menunggu penggubalan Akta Pekerja Domestik yang khusus,” katanya yang juga merupakan penasihat Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS).

Antara perkara yang dibangkitkan Ke Arah 189 dalam cadangan mereka ialah hak pekerja domestik untuk mendapat cuti sakit, cuti bersalin, perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain.

Cadangan tersebut disokong oleh 23 badan, antaranya PSWS, Tenaganita, Jejaring Pekerja Indonesia di Malaysia (Serantau), Kumpulan Pekerja Domestik Filipina (AMMPO), Parti Sosialis Malaysia dan lain-lain.

Pada 23 April, Kulasegaran dilaporkan berkata kerajaan akan merangka akta khusus untuk pembantu rumah bagi menyediakan perlindungan yang lebih baik kepada mereka.

Namun, katanya, sementara menunggu rang undang-undang tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat, Kulasegaran memaklumkan langkah sementara akan diambil melibatkan pindaan peruntukan dalam pindaan Akta Pekerja 1955.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang pembebasan MAS Ambika daripada tuduhan bunuh terhadap pembantu rumah warga Indonesia, Adelina Lisao tahun lalu yang menyebabkan timbul gesaan untuk semakan semula undang-undang berkenaan pekerja asing.

Sementara itu, menurut pengarah eksekutif Tenaganita, Glorene Dass, pihaknya telah meminta untuk mengadakan pertemuaan dengan pihak kementerian bagi membincangkan hal ehwal pekerja domestik, namun setakat ini belum mendapat maklum balas.

"Kita ada minta untuk berjumpa dengannya (Kulasegaran) pada April, tapi belum dapat maklum balas.

"Penting untuk mengadakan proses rundingan, bukan sahaja dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan badan kemasyaraKatan sivil (CSO), tapi juga dengan kumpulan pekerja.

"Dengan itu baru kita boleh memasukkan rangka hak asasi pekerja dalam peraturan ini," katanya.

Menurut Glorene, mereka mendapat pelawaan daripada kementerian untuk berkongsi pandangan tentang peraturan tersebut pada Mei, dan menghantarnya 16 Jun.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai dakwaan gabungan tersebut, Kulasegaran memberi jaminan bahawa kementeriannya sedang dalam arah menjayakan penggubalan akta baru tersebut biarpun mungkin akan mengambil sedikit masa.

“Kamu tahulah, bukan senang nak pinda undang-undang. Banyak prosedur, banyak pihak berkepentingan. Ia akan ambil masa, tapi kita sedang dalam arah yang betul untuk menjayakannya,” katanya kepada pemberita di Damansara Heights, Kuala Lumpur.

Berhubung dakwaan gabungan tersebut yang mendakwa tidak mendapat maklum balas daripada kementeriannya untuk mengadakan pertemuan, Kulasegaran berkata perbincangan sudah dilakukan dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Mereka bukan satu-satunya pihak berkepentingan. Kami berbincang dengan semua pihak, sepeti Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), kesatuan-kesatuan di Kesatuan Sabah Sarawak (SSU) (dan sebagainya).

“Selepas itu, akan dibawa ke kabinet untuk kelulusan. Ia akan dilakukan mengikut prosesnya. Akan ambil masa yang sangat panjang. Bukan senang, ya. Tapi ia akan dilakukan,” katanya lagi.