Sekumpulan NGO menggesa Peguam Negara Tommy Thomas untuk menjelaskan mengapa tiada pertuduhan dikenakan ke atas anak didik pendakwah tersohor Islam Dr Zakir Naik - Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu - yang didakwa menghina agama Hindu.

Zamri, ditahan di Perlis pada April lalu susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya berhubung sebuah khutbah yang dimuat naik ke internet yang didakwa menghina agama Hindu.

Tangkapan itu dibuat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

NGO-NGO yang diketuai oleh aktivis Arun Dorasamy turut menuntut Thomas menjelaskan jika Zamri diberikan hak keistimewaan, yang menyaksikan janbatan itu gagal bertindak.

"Sekiranya AGC memutuskan untuk tidak mengenakan sebarang pertuduhan, kami ingin tahu sebab-sebab keputusan sedemikian," kata kumpulan itu dalam memorandumnya.

Memorandum yang ditandatangani oleh 41 NGO itu kemudiannya diserahkan kepada seorang pembantu Thomas di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya hari ini.

Ketika dihubungi, Arun berkata beliau dijanjikan jawapan pada Isnin ini.

Katanya, jika tidak ada jawapan diberikan pada hari berkenaan, kumpulan itu akan membawa perkara tersebut kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong pada hari Rabu, dan juga menghantar memorandum lain kepada Jabatan Perdana Menteri pada hari Jumaat.

[Baca berita penuh]