SPRM perlu tambah baik persepsi di peringkat awam, kata Latheefa
Penambahbaikan yang diperlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah dalam soal hebahan kepada orang awam tentang kerja baik yang dilaksanakan agensi itu, kata ketua pesuruhjayanya Latheefa Koya.
Sebaik memegang jawatan itu bulan lalu, kata Latheefa, beliau menyedari banyak hal-hal positif berkenaan agensi itu yang tidak dimaklumkan kepada orang ramai.
"Lepas masuk (SPRM) baru saya tahu banyak kerja baik SPRM tidak cukup diuar-uarkan," katanya dalam wawancara bersama stesen radio suruhanjaya itu MACCfm hari ini.
Beliau diminta menyatakan penilaiannya terhadap SPRM setakat ini dan sama ada wujud kelemahan yang perlu ditangani.
"Apa yang saya rasa perlu dilakukan (SPRM) hanyalah meningkatkan persepsi orang awam.
"Banyak perkara yang orang tidak tahu, termasuk saya. Saya rasa seperti dalam kampus universiti setiap kali taklimat... Saya tak sabar untuk beritahu orang di luar (tentang SPRM).
"Ini perkara yang kita perlu beritahu orang ramai berkenaan bagaimana kita melawan rasuah."
Ini merupakan wawancara pertama Latheefa sejak dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM berkuatkuasa 1 Jun lalu.
Menurut Latheefa, beliau mempunyai sentimen yang sama setelah pertemuan dengan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dalam Pelantikan Awam Utama (PSC) Khamis lalu.
Menyifatkan pertemuan itu sebagai berjaya, beliau berkata soalan yang diaju PSC terhadapnya membuatkannya sedar perlunya proses untuk menyebarkan maklumat tentang SPRM.
Promosi dan pendidikan
Beliau berkata inilah sebabnya mengapa antara misinya ialah menambah baik kegiatan promosi dan pendidikan berkenaan perkara antirasuah serta agensi itu sendiri.
"Secara umum saya boleh kata pertemuan ini sangat berjaya sebab mereka dapat pencerahan tentang sama ada saya boleh jalankan tugas saya.
"Setelah dengar soalan (mereka), perlu ada lebih proses untuk beritahu apa yang SPRM lakukan bukan saja kepada anggota parlimen dan pemimpin... Kerana ramai masih tidak sedar tugas berat yang digalas SPRM.
Beliau turut menyentuh soal keperluan mendidik semula orang ramai tentang tujuan SPRM dan mengkritik amalan menjadikan agensi itu sebagai "punching bag".
"Mungkin pada tahun kebelakangan ini SPRM dikenali sebagai agensi untuk dibuat aduan tetapi pada masa sama dijadikan punching bag untuk permainan politik.
"Ini masanya kita didik semula masyarakat berkenaan apa tugas SPRM yang bukan saja tangkap dan buat pertuduhan, tetapi tugas berat (lain) yang termaktub dalam Akta SPRM berkenaan pencegahan dan pendidikan," katanya lagi.

