Tepat setahun yang lalu, Numan Afifi membuat keputusan meletak jawatan sebagai pegawai akhbar sementara kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akibat dikecam sebagai aktivis hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Mengenang semula insiden berkenaan, aktivis LGBT itu hari ini berkata bahawa dia 'tidak kesal' dengan keputusan itu, yang seterusnya memberi ruang kepadanya menjadi perunding kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta membantu orang lain dalam komuniti gay melalui kumpulan sokongan belia.

"Setahun yang lalu, saya membuat keputusan yang paling sukar dalam hidup saya. Saya ditinggalkan tanpa pendapatan dan pekerjaan yang stabil selama enam bulan dan dihina dengan teruk kerana orientasi seksual dan pendirian saya terhadap antidiskriminasi.

"Saya tidak kesal kerana saya kemudian menjadi perunding kepada sebuah agensi PBB tempatan sebagai salah seorang perunding termuda, mengasaskan sebuah kumpulan sokongan belia untuk golongan gay yang mengubah kehidupan mereka dan diberi penghormatan untuk bercakap di PBB di Geneva," ciap Numan di Twitter hari ini.

Numan menambah: "Saya harap, pada satu hari, semua akan mendapat hak saksama dalam berkhidmat untuk negara."

Numan adalah presiden kumpulan Kempen Pelangi Hak LGBT dan naib presiden 'Perubahan Dipimpin oleh Generasi Muda' (Challenger).

Challenger dibentuk pada 2016 oleh Syed Saddiq dan 24 wakil pelajar dan pemimpin belia dari pelbagai universiti tempatan dan antarabangsa mengkritik pentadbiran yang diketuai oleh Najib Razak.

Numan turut pernah mencuri tumpuan apabila terlibat menganjurkan acara berbuka puasa bersama komuniti gay pada tahun 2017.

Ketika mengundurkan diri dari Kementerian Belia dan Sukan, Numan menjelaskan bahawa dia tidak pernah bekerja secara rasmi dengan kementerian itu tetapi diminta oleh rakannya, Syed Saddiq, untuk membantu mengendalikan urusan akhbar sehingga mendapat penggalas tugas itu.

Numan mendakwa bahawa terdapat elemen sabotaj apabila namanya muncul di senarai kakitangan laman web kementerian itu.

Beberapa NGO dan ahli politik, termasuk Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, memberi sokongan kepada Numan dan menggesa kerajaan Pakatan Harapan supaya tidak tunduk kepada diskriminasi.

Numan akhirnya memeklumkan bahawa dia akan ke luar negara untuk berehat.

Numan kembali menjadi tajuk berita utama pada April tahun ini apabila dipanggil oleh polis untuk disoal siasat berhubung ucapan yang disampaikan di PBB di Geneva, Switzerland, pada Mac.

Numan berucap sebagai perwakilan Persatuan Lesbian dan Gay Antarabangsa bagi pihak gabungan NGO Malaysia dan menyentuh isu identiti jantina dan isu orientasi seksual.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah sebelum ini menyatakan kebimbangan mengenai tindakan polis untuk menyoal siasat Numan.

Pada Mei lalu, wawancara beliau dengan Astro Awani untuk program 'Let's Talk' mengenai masalah yang dihadapi oleh komuniti LGBT di Malaysia ditangguh.