Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan 'rogol' pembantu rumah: Polis siasat exco Perak
Diterbitkan:  Jul 9, 2019 4:28 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Polis sedang menjalankan siasatan ke atas seorang anggota exco Perak selepas seorang pembantu rumahnya menuduh dia melakukan serangan seksual terhadapnya.

Dihubungi Malaysiakini petang ini, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Choo Lily mengesahkan laporan itu dibuat semalam.

Beliau berkata Adun DAP itu sedang disiasat atas pertuduhan merogol dan polis telah merakamkan kenyataan mangsa berkenaan.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jika suspek tersebut dipanggil untuk disoalsiasat.

Sebelum ini, akhbar Sin Chew Daily melaporkan exco penggal pertama itu memberitahu bahawa dia tidak bersalah.

Bagaimanapun, bapa kepada empat orang anak itu enggan mengulas lanjut memandangkan perkara itu sedang disiasat oleh polis.

Tuduhan itu dibuat dua hari sebelum barisan exco Perak baru mengangkat sumpah. Ahli Exco Perak dilantik secara tahunan.

Dalam barisan semasa susulan pilihan raya umum pada 9 Mei 2018, lima daripada 10 anggota exco di Perak adalah terdiri daripada Adun DAP.

Mereka adalah Wong Mei Ing, A Sivanesan, Paul Yong, Howard Lee dan Abdul Aziz Bari.

Sementara itu, pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata parti akan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

"Ini adalah tuduhan serius . DAP memandang berat dengan tuduhan itu.

"Oleh kerana laporan polis telah dibuat dan parti berpendirian bahawa tiada sesiapapun yang berada di atas undang-undang, jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh.

"Tindakan sewajarnya akan diambil bergantung kepada keputusan siasatan oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS