Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekida, Yayasan Penyelidikan Transformasi setuju lucut hak dana berkaitan 1MDB

Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah (Pekida) dan Yayasan Penyelidikan Transformasi hari ini setuju untuk melucut hak dana berkaitan 1MDB yang diterima mereka.

Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nik Haslinie Hashim memaklumkan kedua-dua pertubuhan itu sudah menulis surat menyatakan persetujuan dengan pelucuthakan berkenaan.

"Pekida dan Yayasan Penyelidikan Transformasi tiada bantahan, mereka telah menulis surat kepada mahkamah bersetuju dengan pelucutan hak," katanya ketika ditemui selepas pengurusan kes di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Selain Pekida dan Yayasan Penyelidikan Transformasi, pengurusan kes hari ini turut melibatkan Umno Pahang dan K&Z Enterprise Sdn Bhd.

Empat pihak itu adalah antara 41 individu dan entiti yang dinamakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam saman pelucuthakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla), untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta.

Umno Pahang dan K&Z Enterprise bagaimanapun akan mencabar permohonan pelucuthakan SPRM itu.

Nik Haslini berkata permohonan bagi penyiaran notis terhadap Umno Pahang ditetapkan pada 26 Julai, manakala K&Z Enterperise - yang didakwa menerima RM100,000 daripada akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak - pada 6 Ogos.

Penyiaran notis itu akan dibuat di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff.

Sementara itu, peguam Umno Pahang Syed Azimal Syed Abu Bakar berkata pihaknya perlu menjawab afidavit berkenaan pada 31 Julai ini.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata sebahagian besar daripada wang itu - iaitu RM212 juta - dituntut daripada Umno.

Lihat Komen
ADS