Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih 700 murid Orang Asli keciciran sekolah tahun lalu

PARLIMEN | Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik lebih 700 pelajar Orang Asli keciciran sekolah rendah dan menengah pada tahun lalu.

Ketika membentangkan statistik berkenaan di Dewan Rakyat hari ini, Maszlee berkata perkara tersebut berpunca daripada berbagai faktor seperti lebih minat bekerja dan memilih untuk berumah tangga.

"Berdasarkan data Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) sehingga 31 Mei 2019 didapati maklumat keberadaan murid orang asli di sekolah rendah dan sekolah menengah adalah sebanyak 32278 pada tahun 2019 berbanding 34481 pada tahun 2018.

"Oleh itu sebanyak 725 murid didapati tiada dalam pendaftaran pada tahun 2019.

"Antara sebab yang mungkin menyumbang kepada penurunan bilangan pendaftaran murid orang asli di sekolah antaranya kurang berminat untuk meneruskan persekolahan sebaliknya lebih berminat untuk bekerja, berkahwin pada usia muda dan tidak meneruskan pendidikan ke sekolah menengah," katanya.

Maszlee menjawab pertanyaan MP Hasbullah Osman (BN-Gerik) mengenai peratusan keciciran persekolahan di kalangan anak-anak masyarakat Orang Asli.

Menteri turut memaklumkan 51 penuntut Orang Asli keciciran dari universiti awam pada 2018.

"Berdasarkan statistik tahun 2018, seramai 8.8 peratus atau 51 orang daripada 577 pelajar Orang Asli direkodkan dengan status berhenti atau diberhentikan daripada universiti awam," jelasnya lagi.

Kata Maszlee, kerajaan "sentiasa berusaha untuk memberi peluang pendidikan yang sama rata kepada murid-murid Orang Asli melalui pelbagai program yang dijalankan serta menyediakan kemudahan akses yang sempurna bagi memastikan kelangsungan hidup mereka serta meningkatkan taraf hidup pada masa akan datang."

Bagaimanapun, menteri tidak menjelaskan lanjut mengenai program dan kemudahan akses berkenaan secara terperinci.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS