Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegur sikap beberapa pemimpin parti itu yang memberi pandangan negatif terhadap pelantikan Najib Razak sebagai pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Kata Ahmad Zahid, ketika BN membuka ruang kepada semua orang menyatakan pandangan demi kebaikan gabungan itu, mereka juga mestikan tidak mengabaikan "kelebihan" seseorang.

Zahid yang juga presiden BN menambah ada faktor tertentu yang diambil kira oleh parti terbabit apabila memilih Najib mengetuai lembaga penasihat mereka.

“Tidak begitu sesuai jika pandangan yang berbentuk mengetepikan kelebihan seseorang dalam sumbang saran dan juga memberikan sumbangan tenaga (dikeluarkan), apatah lagi jika dia mempunyai pengaruh yang boleh membawa generasi pelbagai kaum untuk memenangi PRU ke-15," katanya.

Atas pertimbangan boleh menarik orang ramai menyokong BN, kata Ahmad Zahid, BN memilih Najib sebagai pengerusi lembaga tersebut.

Tambahan pula, katanya, BN sedang bekerjasama dengan PAS serta parti lain yang menunjukkan minat untuk bersama mereka.

Bekas timbalan perdana menteri itu ditemui media di lobi parlimen hari ini.

Cuma pandangan peribadi

Pada 9 Julai lalu Malaysiakini melaporkan, Najib dilantik mengetuai badan penasihat BN dan ia dipersetujui sebulat suara oleh pemimpin semua parti dalam gabungan tersebut.

Pelantikan itu diumumkan Ahmad Zahid dan dibuat kurang dari dua minggu selepas beliau kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno dan pengerusi BN.

Untuk rekod secara keseluruhan Najib dan Ahmad Zahid berdepan lebih 120 tuduhan mahkamah, membabitkan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Kedua-dua mereka tidak mengaku bersalah.

Gambar fail

Terdahulu Ahmad Zahid ditanya mengenai pendirian dua pemimpin Umno iaitu bekas setiausaha agung BN, Nazri Aziz, dan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Nazri yang juga anggota parlimen Padang Rengas menganggap pelantikan Najib sebagai langkah ke belakang oleh BN, manakala Khairy berkata beliau berada pada situasi "tidak gembira"

Sementara itu Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata beliau mengalu-alukan kepelbagaian pandangan dalam Umno dan menyifatkan komen Nazri dan Khairy sebagai bersifat peribadi.

Annuar Musa

Pada masa sama beliau membidas kenyataan sesetengah pihak yang mempertikaikan keputusan itu dan mengaitkannya dengan peranan Najib dalam kekalahan BN pada PRU ke-14 lalu.

“Parti sudah buat pendirian. Kita tak akan membuang atau tikam belakang pemimpin kita sendiri sebab dituduh (di mahkamah).

"Kalau dia dituduh, beliau akan menggunakan proses undang-undang,” katanya.

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin pula berkata beliau tidak terkejut dengan kenyataan Nazri dan Khairy itu kerana kedua-dua anggota parlimen itu sering mengemukakan pandangan sendiri.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut percaya Najib mampu berperanan dengan baik melalui jawatan yang diberikan kepadanya.

“Dakwaan mahkamah terhadap Najib tidak memberi kesan, sekurang-kurangnya beliau lawan di mahkamah,” katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS