Semak semula SOP Jabatan Imigresen, kata MP
Susulan kematian warga Nigeria ketika ditahan Imigresen pada 9 Julai lalu, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago menggesa prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Imigresen disemak semula dan diperbaharui.
Beliau merujuk kematian pelajar PhD Universiti Lim Kok Wing, Orhions Ewansiha Thomas, yang disifatkannya satu lagi insiden terbaru melibatkan jabatan itu.
"Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata jabatan penjara sedang melaksanakan reformasi dalam soal penahanan, pemulihan, latihan kakitangan, pematuhan peraturan dan kemudahan.
"Saya harap ia juga dapat diluaskan dengan memasukkan semakan terhadap SOP Jabatan Imigresen," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud mengesahkan kematian Ewansiha, yang ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil sehari selepas operasi jabatan itu di Desa Aman Puri, Kepong, Julai lalu.
Khairul berkata Ewansiha dan tahanan lain dilayan secara berhemah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan malaysia (HUKM) selepas mengalami sawan ketika tidur.
"Pada masa ini pihak Imigresen masih menunggu laporan penuh kesihatan subjek dan laporan penuh bedah siasat untuk mengetahui punca kematian," katanya.
Namun bagi Charles, kematian itu boleh dielakkan.
"Khairul berkata mereka menahannya untuk menyemak sama ada pas pelajarnya sah apabila melarikan diri ketika serbuan.
"Tetapi persoalannya: Mengapa ambil masa lima hari untuk mengesahkan dokumen Ewansiha apabila panggilan telefon kepada universiti boleh menjelaskan perkara itu degan segera?
Ini jelas menunjukkan salah guna kuasa oleh Jabatan Imigresen," katanya.
Awal bulan lalu, Jabatan Imigresen dikecam selepas menahan dua kanak-kanak tanpa dokumen serta memisahkan mereka daripada ibu mereka.
Selain itu, Sekumpulan wanita Filipina mendakwa menerima layanan buruk ketika ditahan di Bukit Jalil, antaranya diberi makanan basi, dibiarkan terbaring di lantai sejuk dan keras selain mendakwa sel-sel tahanan itu kotor dan sempit.
Dakwaan itu dinafikan Jabatan Imigresen dan mengatakan pihaknya memperuntukkan kos setinggi RM139 juta setahun bagi memastikan pengurusan dan operasi dijalankan dengan baik di 14 pusat tahanan seluruh negara.
Dalam pada itu Charles menyenaraikan beberapa dakwaan insiden melibatkan Jabatan Imigresen, antaranya warga Singapura yang mendakwa ditahan selama 26 jam kerana pasportnya akan tamat tempoh dalam masa enam bulan, serta seorang lelaki transgender yang diancam dan dimalukan pegawai imigresen kerana identiti jantinanya.
"Jelas salah guna autoriti menyebabkan ramai ditahan di tempat tahanan yang sesak, dinafikan rawatan dan makanan yang baik, ditahan secara sembarangan dan dinafikan hak yang asas.
"Kini ada satu lagi kematian di tangan kita. Jabatan Imigresen perlu dipertanggungjawabkan kerana Ewansiha dan mereka yang lain perlu diberi keadilan. Dan reformasi diperlukan untuk ia berlaku," katanya lagi.

