Paling Popular
Terkini

Keluarga Teoh Beng Hock akan menemui Peguam Negara Tommy Thomas berhubung isu penyiasatan semula kematian Beng Hock di bawah "pengurungan secara salah" minggu depan, kata Ramkarpal Singh.

"Peguam kami telah menghantar surat kepada peguam negara dua minggu lalu, kami berharap dapat jumpa dan mencari penjelasan," kata Lee Lan, adik Beng Hock kepada media semalam pada program mengenang mendiang.

Lee Lan menyatakan kekecewaannya berhubung keputusan kerajaan untuk membuka semula siasatan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah.

Ketika ditemui, peguam keluarga Teoh mendedahkan bahawa Thomas menjawab permohonan mereka dan dia akan berjumpa dengan keluarga Teoh dalam minggu yang akan datang.

Bagaimanapun, tarikh dan masa sebenar belum ditetapkan.

Pada 16 Julai 2009, Beng Hock ditemui mati di koridor bangunan selepas jatuh sembilan tingkat dari pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam.

Beng Hock berada di pejabat SPRM Selangor untuk disoal siasat selaku pembantu Adun Seri Kembangan.

Pada Selasa, 16 Julai ini akan menjadi ulang tahun ke-10 kematia Beng Hock.

Pada program mengenang Beng Hock yang diadakan di pintu masuk Plaza Masalam, Shah Alam semalam, ratusan hadir berpakaian berwarna gelap, termasuk keluarga mendiang, rakan-rakan, dan aktivis dari pelbagai NGO.

Lee Lan tampil memberi ucapan di hadapan bangunan tempat abangnya ditemui mati sepuluh tahun yang lalu.

Sambil cuba menahan air mata, Lee Lan menggesa ahli politik tidak melupakan janji mereka selepas mendapat kuasa.

"Sepuluh tahun yang lalu, ketika anda menjadi pembangkang, mereka di DAP, PKR dan Amanah berdiri di sini sambil berteriak 'Siapa yang telah membunuh Beng Hock?'

"Pada masa itu, anda tidak berdaya dan tidak mempunyai kuasa memerintahkan polis untuk menyiasat.

"Kami berjuang bersama selama sepuluh tahun, dari mahkamah koroner ke mahkamah tinggi, juga mahkamah rayuan, dan akhirnya mahkamah rayuan memutuskan bahawa kematian Beng Hock disebabkan oleh kecederaan akibat perbuatan yang menyalahi undang-undang oleh seseorang.

"... Sepuluh tahun yang lalu, anda tidak mempunyai kuasa, tetapi sekarang kami telah memberi semua kuasa kepada anda. Adakah anda melakukan keadilan kepada Beng Hock?" katanya.

Sementara itu, pengerusi Teoh Beng Hock Trust For Democracy Ng Geok Chee berkata bahawa negara gagal memberi keadilan bagi Beng Hock sepuluh tahun yang lalu, tetapi selepas pertukaran kerajaan, pihak yang bertanggungjawab belum dibawa ke pengadilan.

Ng juga mendedahkan bahawa mereka telah berusaha untuk bertemu dengan ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya beberapa kali, tetapi gagal menerima sebarang respons.

"Kami telah menghubungi ketua SPRM baru untuk temu janji. Kami menghubungi beliau secara peribadi dan menghantar surat kepadanya, tetapi dia tidak pernah menjawab.

"Kami meminta pihak polis untuk mempercepatkan penyiasatan dan membebankan pegawai SPRM untuk pembunuhan, tetapi pihak polis juga tidak memberi respons kepada kami.

"Kami menggesa kerajaan untuk membentuk pasukan petugas yang terdiri daripada peguam negara, polis, Suhakam, Majlis Peguam dan Suaram untuk menjalankan siasatan baru, tetapi saranan kami tidak didengar," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS