Presiden MCA, Wee Ka Siong perlu berhenti daripada berpura-pura tidak tahu bahawa bayaran cukai tidak boleh menghalalkan wang haram, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Wee perlu berhenti berpura-pura jadi bodoh, dengan mengatakan bahawa Koperasi Jayadiri Sdn Bhd (Kojadi) membayar cukai pada tahun lepas kepada LHDN, membuktikan bahawa RM15 juta yang diterima Kojadi daripada Yayasan 1MDB adalah sah," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Lim, tindakan membayar cukai tidak menjadikan dana haram sah dari segi undang-undang dan bebas daripada salah laku jenayah.

"Jika demikian, maka Jho Low dan Najib Razak dengan mudah boleh membayar cukai mereka dan tidak bimbang dengan pendakwaan," kata Lim.

Lim merujuk kenyataan Wee yang mempersoalkan bagaimana dana Kojadi yang diterima daripada Yayasan 1MDB dianggap haram sedangkan ia membayar cukai kepada LHDN sebanyak RM1.03 juta.

Pengerusi Kojadi Ng Peng Hay sebelum ini berhasrat menemui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan niat untuk memulangkan wang berkenaan.

Bagaimanapun kata Lim, Ng telah dihukum kerana ingin memulangkan semua wang berkenaan apabila digantung oleh lembaga Kojadi yang dikawal MCA.

Lim mendakwa Wee tidak jujur apabila tidak mengakui fakta bahawa SPRM telah membekukan akaun Kojadi sementara menunggu saman pelucuthakan sivil agar wang itu dikembalikan.

"Jika Kojadi tidak perlu kembalikan wang kepada Yayasan 1MDB, maka apa relevan akaun bank Kojadi dibekukan oleh SPRM?" soal Lim.

Kojadi merupakan koperasi yang dikendalikan oleh MCA dan antara 41 entiti yang sedang diteliti SPRM kerana didakwa menerima wang haram daripada 1MDB.