Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak representasi pertuduhan pengubahan wang haram peguam Umno

Jabatan Peguam Negara hari ini menolak representasi yang dikemukakan Penasihat Undang-Undang Umno Mohd Hafarizam Harun bagi mengkaji pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta yang dihadapinya.

Hakim Azman Ahmad menetapkan tarikh perbicaraan pada 26 Ogos 2019, pada jam 9 pagi.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul, surat representasi yang ditolak pada tarikh 11 Julai itu ditolak atas dua isu yang berbangkit.

Pertama, sama ada kes tersebut akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen atau dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, di mana kedua-dua belah pihak boleh memohonnya.

Manakala yang kedua sekiranya terdapat dokumen tambahan yang akan diserahkan sebelum tarikh perbicaraan pada 26 Ogos.

Mohd Hafarizam yang dikecualikan kehadirannya hari ini diwakili oleh peguam beliau Hasnal Rezua Merican.

Kenyataan yang dibaca oleh Ashrof itu tiada bantahan dari Hasnal.

Hafarizam sebelum ini didakwa menerima wang daripada bekas perdana menteri Najib Razak melalui beberapa cek di antara 2014 dan 2015, di mana untuk pertuduhan pertama Hafarizam didakwa menerima RM11.5 juta.

Ia dipercayai daripada kegiatan haram - melalui dua cek yang masuk ke "Akaun Pelanggan" milik firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Untuk tuduhan kedua, Hafarizam dituduh menerima RM3.5 juta hasil daripada kegiatan haram melalui sekeping cek yang dimasukkan ke akaun sama pada 12 Feb 2015.

Dia juga didakwa melakukan tuduhan kedua di bank yang sama.

Hafarizam dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah wang yang terlibat, atau RM5 juta.

Lihat Komen
ADS