Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

“Saya tak boleh kawal apa Siti Kasim fikir.”

Begitu respons Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof terhadap kenyataan peguam itu yang menuduhnya membingungkan umat Islam di negara ini berhubung produk arak tanpa alkohol.

Katanya, kenyataannya semalam semata-mata bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam di negara ini.

“Saya menteri agama, jadi sudah tentu orang akan tanya. Jadi jawapan saya begitulah - benda yang mengelirukan, ada alkohol ke tak ada alkohol ke, ada pula arak yang halal, sudah tentu ini akan menimbulkan kekeliruan.

“Apa dia nak fikir selepas daripada itu, itu masalah dia. Masalah saya ialah nak jaga orang Islam supaya jangan keliru, itu saja.

“Apa dia nak fikir, kata saya nak mengharamkan (sesuatu), itu apa yang dia fikir saya tak boleh kawal. Ikut dialah,” kata Mujahid.

Heineken 0.0

Beliau diminta mengulas kenyataan Siti yang menuduhnya cuba mengelirukan umat Islam tentang halal dan haram dalam isu tersebut.

Siti tengah hari ini membidas Mujahid yang menegur syarikat pengeluar minuman keras di negara ini tidak mengelirukan umat Islam.

Ada jual di Makkah, kata Siti

Menurut Siti, di Makkah sendiri, sejak tahun 80-an produk minuman tanpa alkohol telah dijual.

“Jadi, jangan cuba keluarkan peraturan-peraturan sedemikian rupa apa yang kita boleh minum dan tidak. Amat jelas, bahawa anda mengelirukan orang lain apa yang benar-benar haram dan tidak!

“Saya difahamkan, di Mekah pun, sejak 80-an mereka menjual bir tidak beralkohol…Jadi apa masalah awak? Tolong henti untuk beritahu kami bagaimana kami perlu menjalani kehidupan,” tulisnya di hantaran Facebook hari ini.

 Disoal pemberita di lobi parlimen, Mujahid hari ini bagaimanapun berkata pendiriannya dibuat dalam konteks Malaysia.

“Itu saya tak tahu. Saya punya isu ialah, di Malaysia, bukan Mekah ke, Madinah ke. Isu dia ni Malaysia orang Islam tertanya-tanya, saya jawablah saya kata tak boleh.

“Dan saya kata, kalau keliru, tinggallah. Buat apa nak pening? Itu saja saya cakap,” katanya lagi.

Sebelum ini tular promosi penjualan arak sifar alkohol Heineken 0.0.

Heineken menjelaskan produk itu tidak halal dan hanya disasarkan kepada golongan bukan Islam berumur 21 tahun dan ke atas.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, produk itu dijual di bahagian tidak halal di pasar raya dan kedai serbaneka.

Lihat Komen
ADS