‘Polis masih tidak ubah walau di bawah Malaysia baru’
PKR Perak kesal dengan tindakan polis yang menunjukkan ‘double standard’ dalam menahan reman pengerusi PKR negeri itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi membantu siasatan video seks luar tabii yang dikaitkan dengan seorang menteri.
Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran berkata, polis sepatutnya mengambil keterangan sahaja kerana ia bukan kes jenayah.

“Cukup sekadar ambil keterangan bagi membantu siasatan kerana kes ini disiasat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia, hari ini.
Merujuk kes seorang ahli exco kerajaan negeri Perak yang didakwa merogol pembantu rumah, Tinagaran berkata, polis hanya merakamkan percakapan sahaja dan exco tersebut dibebaskan tanpa perlu direman.
Sedangkan, katanya kes itu merupakan kes jenayah iaitu gangguan seksual.
“Mengapa polis tidak menahan reman exco tersebut dan membebaskannya selepas diambil keterangan.
“Ini menunjukkan ada ‘double standard’ dalam dua keadaan ini dan saya melihat prosedur operasi standard (SOP) polis masih tidak berubah walaupun berada di bawah Malaysia baru,” katanya.

Semalam, Farhash Wafa Salvador bersama seorang lagi lelaki ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan video seks luar tabii bekas Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan seorang menteri.






