Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin disaran menggunakan platform pemukiman PKR yang bermula malam ini sehingga Ahad di Port Dickson untuk memberi apa-apa pandangan tentang permasalahan parti.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang menyarankan perkara itu berkata Zuraida yang merupakan pemimpin kanan parti dan menjadi peserta sesi pemukiman, harus mengemukakan hujah-hujahnya, jika dia merasakan ada keretakan dalam parti.

"Itu lebih baik daripada membuat kenyataan (media) setiap hari dan tidak membantu keadaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Food Bank Malaysia @ Pasar Tani di pasar tani Putrajaya di hari ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Zuraida sebelum ini yang mendakwa wujud perpecahan dalam PKR sejak penyebaran satu video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

- Bernama