Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Melaka tidak halang Wan Ji berceramah
Diterbitkan:  Jul 25, 2019 1:31 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Kerajaan negeri Melaka tidak akan menghalang aktiviti ceramah pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin walaupun kehadirannya di sebuah masjid di negeri itu baru-baru ini mencetuskan kekecohan apabila dibantah sekumpulan penyokong parti pembangkang.

Portal Utusan Malaysia Online memetik Ketua Menteri, Adly Zahari sebagai berkata, kerajaan negeri mengamalkan dasar terbuka dengan mana-mana penceramah yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan Jabatan Mufti Negeri boleh mengadakan ceramah.

Katanya, ini disebalik, individu itu tidak berpihak kepada kerajaan.

"Wan Ji masih melalui proses mahkamah dan kerajaan negeri tidak akan menghalang kemasukan beliau atau mana-mana penceramah lain walaupun mereka tidak memihak kepada kerajaan.

"Bagaimanapun setiap penceramah yang masuk ke negeri itu mesti mendapat kebenaran dan sentiasa dipantau Jabatan Mufti Negeri.

“Jika kita dapati ada penyalahgunaan yang diberikan, kita berhak menghalang penceramah itu daripada mengadakan aktiviti," katanya yang dipetik poral itu.

Adly juga dilaporkan berkata, kekecohan yang berlaku ketika program membabitkan Wan Ji tempoh hari didakwa berpunca daripada campur tangan politik sehingga menjejaskan imej institusi masjid.

Pada Isnin lalu, keadaan di Masjid Ar Rahman Kampung Parit Melana di Durian Tunggal kecoh apabila sekumpulan individu membantah kehadiran Wan Ji untuk mengadakan ceramahnya.

Ceramah yang sepatutnya disampaikan pendakwah kontroversi selepas solat maghrib itu terpaksa ditunda ekoran bantahan dipercayai dianjurkan Gerakan Pembela Ummah Melaka.

Menurut Adly, langkah diambil kerajaan negeri itu bagi menjadikan Melaka sebuah negeri yang subur dalam pelbagai bidang termasuk ilmu dan pengetahuan.

"Kita tidak sekat majlis-majlis ilmu, kita mahu rakyat negeri ini mendapat ilmu pengetahuan tetapi apa yang berlaku adalah majlis itu dicemar dengan tindakan pihak yang cuba mengaitkannya dengan politik.

"Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, ramai penceramah dan ilmuan dari pelbagai ideologi menganjurkan majlis agama di Melaka," katanya.

Dalam pada itu, Adly berkata, Melaka tidak pernah menyenaraihitam mana-mana penceramah dan ilmuan untuk masuk ke negeri itu bagi menganjurkan majlis ilmu dengan syarat mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

Lihat Komen
ADS