Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Di sebalik rungutan, rakyat akan sedar MPKK inisiatif baik PH

Rungutan sekumpulan pimpinan akar umbi PH mengenai kaedah pelaksanaan majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) di Kelantan yang didakwa akan mengguntungkan pembangkang adalah tidak tepat.

Di bawah pentadbiran PH, kata Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Sazmi Miah, perancangan kaedah pelaksanaan MPKK lambat-laun akan disedari rakyat bahawa ia merupakan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan pusat hari ini.

"Tidak perlu dipolitikkan isu MPKK kerana ia demi kepentingan masyarakat setempat.

"Kalau kita ambil kira ia akan menguntungkan pembangkang, perkara ini tidak akan berkesudahan.

"Sampai bila kita nak pecah-belahkan ideologi politik berbanding pembangunan dan kemajuan komuniti masyarakat setempat?" katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Malaysiakini semalam, mengenai tindakan sekumpulan pimpinan akar umbi PH Kelantan yang mendesak supaya kaedah pelaksanaan MPKK di negeri itu dikaji semula.

Jurucakap kumpulan tersebut, Nik Faizah Nik Othman, berkata pihaknya mendapati wujud mekanisme tidak jelas mengenai punca kuasa yang ada dalam kerangka MPKK.

Lebih baik dari dulu

Katanya, punca kuasa lantikan MPKK di Kelantan lebih jelas daripada PAS berbanding wakil yang dilantik kerajaan PH.

Sementara itu Sazmi yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) berkata, tidak timbul isu punca kuasa MPKK yang tidak jelas kerana setiap peruntukan disalurkan melalui agensi-agensi sedia ada atau melalui kementerian pembangunan luar bandar.

Jelasnya, kenyataan Nik Faizah tidak tepat kerana punca kuasa bukan saja melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sahaja, sebaliknya melibatkan pelbagai agensi.


Baca PH digesa kaji semula struktur MPKK Kelantan


"Jadi tak apalah kalau nak kata menguntungkan pembangkang, tetapi saya rasa lambat-laun rakyat akan tahu bahawa MPKK ini adalah PH buat. Bukan kerajaan negeri.

"Ini inisiatif kerajaan PH. Kalau rakyat dapat manfaat daripada MPKK, lambat laun PH juga akan dapat kredit.

"Itu lebih baik daripada kita pecah kepada dua pihak seperti dibuat pada zaman BN dulu," jelasnya.

Tambah Sazmi, secara keseluruhan pimpinan tertinggi PH Kelantan menerima baik pelaksanan MPKK dan sedia memberi kerjasama kepada pihak kementerian.

"Cuma kita tahu akan ada sedikit sebanyak rungutan dan rasa tak puas hati di peringkat bawah. Tak mungkin kita boleh puaskan hati semua pihak.

"Tetapi kita ingin memberi peluang kepada rancangan tersebut supaya kita boleh beralih daripada kaedah lama. Sebab ini adalah untuk kebajikan rakyat, itulah pendirian yang diterima PH negeri," katanya.

Lihat Komen
ADS