Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sokongan pada PM tak bermakna jika dari pemimpin terdesak - Ezam
Diterbitkan:  Jul 30, 2019 3:30 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Mana-mana pihak perlu jujur dalam menyatakan sokongan terhadap perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dengan menghayati gagasan besar dibawa beliau dan kerajaan pimpinannya, kata bekas senator Mohamad Ezam Mohd Nor.

Menurut Ezam asas paling utama gagasan yang diketuai perdana menteri adalah komitmen melakukan perubahan dari sudut menghapuskan rasuah dan memperbaiki urustadbir negara.

"Sokongan tanpa asas dan gagasan besar ini tidak akan membawa apa-apa makna positif kepada perjalanan negara ini dalam melakukan perubahan yang mesti dilakukan tanpa sebarang kompromi sekiranya kita benar-benar mahu perubahan itu berlaku kepada negara ini.

"Lebih tidak bermakna malah negatif sifatnya sekiranya sokongan dilakukan oleh pemimpin yang terdesak yang diselubungi dakwaan serius yang belum dibereskan dan menggunakan pernyataan sokongan atas sebab-sebar percaturan politik peribadinya.

"Ini sama sekali tidak berasaskan kepada gagasan besar perjuangan negara yang diketuai PM," katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun tidak menyebut mana-mana pihak, Ezam dipercayai merujuk kepada pernyataan sokongan yang diberikan menteri hal ehwal ekonomi, Azmin Ali terhadap perdana menteri.

Azmin minggu lalu berkata Mahathir harus diberi peluang memimpin hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Ezam sendiri pernah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Azmin namun nadanya mula dilihat berubah sejak kemunculan video seks yang dikaitkan dengan timbalan presiden PKR itu bulan lalu.



[BacaEzam: Wajar minta Azmin lepaskan jawatan]


Menurut Ezam, perdana menteri diberi mandat luar biasa daripada rakyat kerana gagasannya bersama gabungan pembangkang sebelum PRU lalu untuk melawan pentadbiran yang melakukan salahguna kuasa dan rasuah berskala besar.

"Makanya sebarang sokongan kepada PM ini mesti memahami latarbelakang gagasan yang dibawa beliau dan gabungan pembangkang dengan dokongan NGO dan rakyat jelata dan jutaan pengundi pada ketika itu.

"Saya secara peribadi bersama rakan-rakan seperjuangan di dalam sebuah parti anti rasuah (dalam peringkat penaja) telah menyatakan sokongan kepada PM ini beberapa bulan lalu.

"Sokongan kami atas asas perjuangan dan komitmen beliau melawan rasuah yang kekal selari dengan gagasan besar yang dibawa beliau semasa PRU14 lalu," katanya.

Lihat Komen
ADS