Bersatu Johor menjadi pihak terbaru yang tampil menyatakan sokongan agar Dr Mahathir Mohamad terus berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

Sokongan yang dinyatakan oleh Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang itu dilihat mengulangi pandangan serupa yang yang dinyatakan oleh pemimpin parti pembangkang baru-baru ini.

“Bersatu Johor menyokong penuh kepimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia yang ketujuh.

“Kami juga berpendapat beliau sepatutnya diberikan laluan sepenuhnya untuk mentadbir Malaysia sehingga keakhir penggal bagi menujudkan iklim kestabilan politik negara yang sudah tentu boleh menyumbang manfaat kepada rakyat dan negara.

“Kewibawaannya memang sudah terbukti lama dan mendapat banyak pengiktirafan serata dunia,” kata Mazlan dalam kenyataannya hari ini.

Mazlan turut berharap pemimpin lain lebih menyanyangi negara berbanding mengutamakan kepentingan politik peribadi.

Sebelum ini Bersatu Selangor turut menyatakan sokongan sama.

Cadangan agar Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal timbul meskipun pengerusi Bersatu itu berulang kali berikrar akan memegang janjinya untuk menyerahkan jawatan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Kecuali mereka tolak saya ke satu sudut dan acu pistol ke kepala saya supaya saya kekal sampai habis penggal, jadi saya akan teruskan.

"(Tetapi) saya akan tunaikan janji saya," kata Dr Mahathir.

Spekulasi mengenai peralihan kuasa perdana menteri dikuatkan lagi dengan pengakuan Dr Mahathir tentang perjumpaan 'rahsianya' dengan pemimpin pembangkang dari Umno, PAS, dan Gabungan Parti Sarawak.

Antara yang hadir perjumpaan itu ialah bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Ketua Whip GPS Fadillah Yusof.

Dr Mahathir juga dikatakan turut meminta seorang menteri kanan PH menghadiri perjumpaan itu namun nama menteri yang dimaksudkan tidak didedahkan.

Bagaimanapun kenyataan Dr Mahathir berhubung perjumpaan itu bercanggah dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg, yang menegaskan bahawa perjumpaan pada 30 Julai lalu di Putrajaya itu adalah selepas mendapat jemputan perdana menteri.

Spekulasi sebelum ini mengatakan bahawa Mahathir cenderung memilih Azmin sebagai penggantinya meskipun terdapat perjanjian dalam PH agar Anwar menjadi perdana menteri seterusnya.