Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Serangan Amanah pada PAS hanya 'peluru getah'
Diterbitkan:  Aug 2, 2019 9:39 AM
Dikemaskini: 9:39 AM

PAS tidak terkesan dengan serangan pemimpin parti Amanah yang disifatkan sebagai hanya menggunakan "peluru getah".

Presiden PAS Abdul hadi Awang berkata oleh sebab itu beliau hanya mendiamkan diri daripada membalas serangan.

"Sekarang ini peluru Amanah itu peluru getah saja, dia tembak PAS tak jadi apa (tiada kesan), jadi saya buat diam saja lah.

"Peluru tendang balik, kena dia (Amanah) balik," katanya dalam sidang media di Rusila, Terengganu, hari ini.

Sidang media berkenaan disiarkan di laman sosial Facebooknya.

Amanah merupakan parti serpihan PAS yang ditubuhkan oleh bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.

Antara kritikan utama pemimpin Amanah terhadap PAS adalah berhubung kerjasamanya dengan Umno.

Selain Mohamad Sabu, pemimpin Amanah lain yang sering mengkritik PAS ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mahfuz Omar dan Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil.

Hari ini giliran Ketua Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud 'menyerang' PAS apabila meragui sokongan parti itu terhadap kepimpinan perdana menteri.

“Bagi, saya PAS makin tidak konsisten. Sokongan mereka kepada Dr Mahathir Mohamad tidak ikhlas," katanya menjawab soalan Malaysiakini.

Siti Mariah yang juga Adun Seri Serdang memberitahu bahawa PAS sebenarnya cuba memecahbelahkan Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa semua parti politik supaya mendukung Dr Mahathir sebagai perdana menteri hingga pembubaran parlimen atau akhir penggal.

Pandangan serupa turut dikeluarkan oleh Abdul Hadi pada 27 Julai lalu, dengan berkata bahawa PAS dan Umno akan bekerjasama untuk mengekalkan Dr Mahathir Mohamad berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga tamat tempoh satu penggal mandat PRU14.

Lihat Komen
ADS