Paling Popular
Terkini

Sokongan PAS supaya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggalas jawatannya sehingga penggal ini berakhir kerana tiada tokoh lain dalam PH yang lebih kuat.

Naib presidennya, Mohd Amar Abdullah berkata, PAS secara khusus melihat beberapa aspek dalam isu tersebut antaranya struktur gabungan PH yang bersifat longgar.

"Kita lihat bahawa gabungan PH ini bersifat longgar. Mereka kena ada seorang ketua yang kuat.

"Jadi kita nampak setakat ini ketua yang kuat adalah Dr Mahathir. Dengan pengalamannya, sikapnya, jadi dia saja pada pandangan kita boleh mengawal dan memastikan kestabilan kerajaan," katanya kepada media ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnain, Kota Bharu, selepas mesyuarat exco kerajaan negeri Kelantan, hari ini.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas mengenai sokongan PAS yang mahu perdana menteri ketujuh itu berkhidmat sehingga habis penggal.

Terdahulu kenyataan menyokong kepimpinanan Dr Mahathir itu dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan semakin mendapat tumpuan selepas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali melontarkam pendapat sama.

Isu penggantian perdana menteri itu timbul ketika wujud pergeseran antara Azmin dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini PH melalui konsensus bersetuju untuk bahawa Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar, namun tidak menetapkam tempoh masa tertentu.

Sementara itu Mohd Amar berkata, jika tokoh lain menjadi perdana menteri ia mungkin akan mewujudkan kerajaan yang tidak stabil.

"Orang lain mungkin akan menyebabkan berlaku kerajaan yang tidak stabil, ia akan memberi kesan kepada politik dan juga ekonomi negara.

"Itu pada pandangan kita, bukan saja-saja sokong Dr Mahathir, tetapi kita melihat beberapa aspek yang lain," katanya.

Lihat Komen
ADS