Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Li gesa singkirkan 'barua' dalam Umno
Diterbitkan:  Aug 4, 2019 5:47 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Umno dinasihatkan agar mengambil tindakan tegas dengan menyingkirkan pemimpin yang disifatkan menjadi duri dalam daging dalam parti itu.

Perkara itu dilontarkan oleh Pengerusi Jemaah Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang menggesa tindakan disiplin diambil terhadap pemimpin dan ahli parti yang dilihat tidak lagi sehaluan dengan parti.

"Orang yang tak boleh berkhidmat kepada parti pencenkan dia. Kita tak mahu ada duri dalam daging, barua dalam parti kita. Apatah lagi PAS sekarang bersama dengan kita.

"Kita kena tengok supaya kedudukan kita kukuh, kuat dan bersatu bersama-sama rakan komponen serta rakan baru kita PAS," katanya seperti dilaporkan Sinar Online, hari ini.

Tengku Razaleigh bagaimanapun tidak menyebutkan pemimpin atau ahli Umno yang dimaksudkannya.

Anggota parlimen Gua Musang yang itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datuk, hari ini.

Hadir sama Presiden Umno merangkap Ketua Umno Bahagian, Ahmad Zahid Hamidi.

Tengku Razaleigh turut menasihati ahli dan pemimpin Umno supaya tidak menjadi tali barut kepada musuh.

Tegasnya, Umno tidak seharusnya membiarkan diri diperalat orang dalam keadaan parti terus dicemuh.

"Oleh itu saya suka menasihati jangan jadi tali barut orang lain. Jangan jadi terlampau bodoh (sehingga) biar orang peralat kita.

"Jangan biar orang terus mencemuh kita (hanya) sebab nak jaga jawatan. Kita mesti rela berkorban," katanya dipetik sebagai berkata.

Sementara itu mengulas kenyataan Tengku Razaleigh, Zahid berkata beliau menyerahkan kepada Lembaga Disiplin Umno untuk mengambil tindakan kepada ahli parti yang melanggar disiplin.

Katanya, tindakan bukan sahaja akan diambil terhadap individu tertentu sebaliknya kepada pimpinan di semua peringkat.

"Kita ada Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno, Mohamed Apandi Ali untuk membuat penyelidikan bukan hanya berdasarkan kepada laporan.

"Jika ada kenyataan bukan sahaja individu dalam kalangan pemimpin Umno tetapi individu di semua peringkat," katanya.

Lihat Komen
ADS