Wanita Umno: Belajar tulisan Jawi tak ubah jati diri, pegangan agama
Pembelajaran seni khat dan tulisan Jawi tidak akan mengubah jati diri dan pegangan agama seseorang, kata Wanita Umno.
Ketuanya, Noraini Ahmad berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi sebagai sebahagian dari mata pelajaran Bahasa Malaysia Darjah Empat.
“Wanita Umno melahirkan rasa hairan kenapa tulisan Jawi diserang, walhal Kementerian Pendidikan sendiri telah menjelaskan bahawa pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan yang indah sambil menegaskan keupayaan pelajar tidak dinilai dalam peperiksaan.
“Wanita Umno yakin pembelajaran seni khat Jawi ini tidak akan sesekali mengubah jati diri dan pegangan agama seseorang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan pada 25 Julai menjelaskan pengenalan seni khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah dan tidak berkaitan dengan tulisan Jawi, malah pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.
Pada 3 Ogos Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata langkah itu bukanlah bertujuan mewujudkan proses Islamisasi di sekolah vernakular, dan tidak tidak sepatutnya dilihat sebagai proses asimilasi budaya.
Langkah kerajaan itu mendapat kritikan beberapa pihak yang menyatakan kebimbangan ia akan membebankan murid.
Pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) yang juga tidak menerima baik rancangan itu juga, pada hari ini turut mengadakan mesyuarat dalaman untuk membincangkan perkara tersebut.
Ia melibatkan pengupasan dan penganalisaan tentang inisiatif Kementerian Pendidikan melalui aspek-aspek pedagogi pedidikan, keberkesanan pembelajaran dan juga realiti serta fungsi pragmatik seni khat Jawi dalam peningkatan tahap penguasaan dan pengetahuan bahasa Melayu.
Mengulas hal itu, Noraini berpandangan Dong Jiao Zong seharusnya berjiwa besar dengan melihat manfaat anak-anak untuk belajar seni tulisan khat yang sekadar seni penulisan dan tidak menyentuh langsung isu atau kepentingan agama tertentu.
“Justeru, semua pihak seharusnya bersikap rasional demi mahu melihat generasi muda hari ini serba boleh dalam kehidupan masyarakat Malaysia berbilang kaum,” katanya lagi.

