PSM berang dengan amaran perundangan yang dibuat oleh anak syarikat Khazanah Nasional (Khazanah) terhadap syarikat pengeluar produk lain tongkat ali.

Menurut amaran itu, Biotropics Malaysia Berhad (BMB) mendaftarkan hak atau paten untuk komponen bioaktif tongkat ali.

Notis mengenai amaran itu diterbitkan di akhbar The Star pada 31 Julai oleh peguam syarikat terbabit.

BMB dimiliki sepenuhnya oleh Agrifood Resources Holdings Sdn Bhd yang dikuasai secara total oleh Khazanah.

Sementara itu, paten tongkat ali dimiliki bersama oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT).

Ia meliputi ekstrak air dari tongkat ali untuk kegunaan saintifik dan produk baru.

Tongkat ali - juga dikenali sebagai ginseng Malaysia - adalah tumbuhan yang digunakan dalam perubatan tradisional. Minuman mengandungi ekstraknya dipasarkan secara meluas sebagai pemberi tenaga atau herba makanan tambahan.

Mengikut notis itu, mana-mana pengeluar dan penjual produk tongkat ali yang tidak mendapat kebenaran daripada kementerian, MIT dan BMB akan melanggar undang-undang paten dan boleh didenda sehingga RM15,000 atau dipenjara sehingga dua tahun.

Tak patut langgar hak

Pengerusi PSM, Dr Jeyakumar Devaraj berkata, ini adalah mengejutkan kerana undang-undang paten Malaysia kini disalahgunakan untuk mewujudkan monopoli ke atas produk semulajadi seperti tongkat ali yang telah digunakan sebagai ubat-ubatan "selama berabad-abad".

"Penduduk tempatan Malaysia telah mengiktiraf sifat-sifat perubatan Tongkat Ali dan telah menggunakannya untuk peningkatan kesihatan untuk peringkat umur.

"Ini jelas sekali satu lagi kes 'memagarkan rakyat marhaen' dengan menggunakan undang-undang paten Malaysia," katanya.

Jeyakumar berkata PSM tidak mempunyai masalah dengan BMB yang memasarkan produk tongkat ali dengan teknologinya tetapi ia tidak sepatutnya melanggar hak pengeluar tradisional lain yang mungkin menggunakan kaedah yang lebih mudah.

Beliau menggesa kerajaan untuk mengkaji kes itu dan mencadangkan pengeluar tongkat ali lain supaya bersatu dan membawa kes mereka kepada kerajaan.

Sementara itu Biotropics Malaysia Bhd dalam kenyataannya malam ini menjelaskan hak paten berkenaan membabitkan bahan bioaktif eurycoma longifolia - atau juga dikenali sebagai tongkat ali.

Ketua Pegawai Eksekutif BMB, Tengku Shahir Tengku Adnan, berkata, hak paten yang diberikan kepada syarikat itu adalah berkaitan dengan penggunaan saintifik baru untuk tongkat ali, bukannya hidupan itu sendiri.

"Paten itu tidak meliputi sebarang ilmu tradisional atau dakwaan tradisional berkaitan tongkat ali yang diketahui seperti sebagai tonik, sumber tenaga, tenaga batin atau peredaran darah, sama ada sebagai dalam bentuk makanan tambahan, makanan dan minuman yang ada di pasaran," katanya.

Butiran mengenai paten yang diberikan kepada BMB juga boleh dilihat pada laman sesawang syarikat itu di https://www.biotropicsmalaysia.com/patent.