Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MMA gesa siasat dakwaan doktor terlibat jual laporan perubatan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengenai doktor dan pakar kesihatan yang dikatakan terlibat dalam menjual laporan perubatan bagi memudahkan pencarum mendapat kelulusan berhubung tuntutan pampasan yang difailkan.

Dalam satu kenyataan respons kepada Malaysiakini hari ini, Presiden MMA, N Ganabaskaran yang melihat isu tersebut sebagai kesalahan berat bagaimanapun berkata, bukti-bukti yang kukuh perlu dikumpul bagi menyokong dakwaan berkenaan.

N Ganabaskaran

“MMA memandang serius berhubung perkara itu dan kami menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu.

“Memandangkan Perkeso akan melaporkan kes tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kita harus memberikan tempoh bagi satu siasatan yang sempurna dapat dijalankan serta bukti yang cukup perlu dikumpul untuk menyokong dakwaan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.

Ganabaskaran berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan portal BH Online yang melaporkan bahawa Perkeso mengesan kegiatan rangkaian sindiket membabitkan doktor dan pakar kesihatan yang menjual laporan perubatan untuk memastikan tuntutan pampasan difailkan pencarum mendapat kelulusan mudah.

Semalam, portal itu memetik, Ketua Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya melaporkan lebih 100 kes sedemikian kepada polis dan SPRM dan mendakwa sindiket berkenaan cuba memanipulasi sistem sedia ada.

Untuk rekod, proses menuntut pampasan tersebut harus diperakui oleh Lembaga Perubatan.

Namun, Mohammed Azman berkata, pihaknya mendapati terdapat individu yang cuba memanipulasi kelompangan sistem penilaian tuntutan pampasan dengan pergi ke hospital yang didapati tidak ‘tegas’ dalam mengendalikan pengurusan penilaian kecederaan dialami pengadu untuk mendapatkan jumlah pampasan tertentu.

Dakwanya lagi, terdapat pihak ketiga yang memudahkan proses untuk mendapatkan laporan perubatan bagi menyokong tuntutan tersebut, di mana ia dijual oleh segelintir doktor dan pakar kesihatan.

Bagaimanapun, katanya Majlis Perubatan Malaysia (MMC) hanya bersikap “berpeluk tubuh” dan meminta kemukakan bukti apabila perkara itu diutarakan.

Lihat Komen
ADS