Ahli keluarga mendiang Jerusha Sanjeevi (gambar) memfailkan saman menuntut ganti rugi terhadap American Utah State University (USU), atas dakwaan bahawa jabatan psikologi universiti berkenaan gagal menangani aduan mendiang bahawa dia dibuli sebelum kematiannya.

Berdasarkan laporan The Herald Journal, Sanjeevi berkali-kali membuat aduan kepada pihak berkuasa di fakultinya dengan mendakwa dia kerap dibuli oleh dua rakan pengajiannya di USU, yang merupakan pelajar doktor falsafah (PhD) sepertinya.

Bagaimanapun, aduan tersebut dikatakan tidak dipandang serius, antaranya kerana pihak universiti didakwa mengamalkan sikap berat sebelah kepada pembuli berkenaan, yang terlibat dalam program bantuan orang asal Amerika di universiti itu.

Keluarga Sanjeevi dilaporkan memfailkan saman itu pada 1 Ogos di Mahkamah Daerah AS di Salt Lake City.

Sanjeevi, yang dilaporkan sebagai seorang mangsa serangan seksual - meninggal dunia pada April 2017 selepas membunuh diri, ketika berusia 24 tahun.

Dalam saman itu, mereka mendakwa, “kegagalan program PhD itu untuk menangani buli yang berlaku dan kegagalannya untuk menjadi orang tengah dalam konflik budaya yang wujud antara Sanjeevi dan pembulinya, sedangkan program itu mempromosikan kemampuannya untuk mengendalikan konflik yang sama”.

Berdasarkan laporan itu, selain USU, saman itu juga turut menamakan tiga kakitangan fakulti psikologi, iaitu: ketua jabatan (ketika itu); profesor yang memberikan nasihat kepada Sanjeevi dan pembuli; dan seorang profesor emeritus - selain dua “pembuli” berkenaan sebagai defendan.

Memetik saman tersebut, laporan itu menyatakan bahawa pihak yang didakwa pembuli mempunyai hubungan yang rapat dengan dua daripada profesor yang dinamakan sebagai defendan, kerana mereka daripada keturunan orang asal Amerika, dan salah seorang profesor itu juga, pada ketika itu merupakan pengarah Projek Sokongan Kaum India-Amerika di jabatan psikologi.

Berdasarkan saman itu lagi, Sanjeevi mendakwa bahawa meskipun salah seorang individu yang membulinya ialah orang asal Amerika, seorang lagi merupakan “daripada kaum orang putih”.

Turut didakwa bahawa pelajar-pelajar berkenaan mencipta “hirarki minoriti” dan menganggap Sanjeevi sebagai “kelas kedua” dan “bawahan” berbanding mereka kerana mendiang mempunyai kulit yang lebih gelap.

“Hirarki perkauman itu menyusup ke dalam program itu, dan menyeksa Jerusha sehingga kematiannya,” petik berita itu berdasarkan saman tersebut.

Antara contoh ganguan yang didakwa dibuat oleh pelajar-pelajar berkenaan ialah mempersendakan Sanjeevi kerana berketuruan kacukan Cina-India, “yang amat melukakan hatinya”, termasuklah sendaan seperti “orang Asia hanya mahu puaskan hati ibu-bapa”, dan “nama orang Asia pelik”.

Sanjeevi juga dikatakan digelar dengan panggilan “sundal” (slut) dan “pelacur” (whore) oleh salah seorang pembuli. Mereka juga dikatakan menuduh Sanjeevi menderita penyakit bipolar.

Kejadian itu berlaku ketika Donald Trump menang dalam pilihan raya presiden AS pada 2016. Bimbang dengan pendirian Trump yang antimigran dan kemungkinan berlakunya pengusiran, Sanjeevi yang berasal dari Banting, Selangor, menghantar emel kepada profesor psikologinya bertanyakan bagaimana dia boleh membantu pelajar-pelajar lain yang tersinggung dengan pemilihan Trump.

Dia menghantar emel berbunyi: “Sebagai rakyat Malaysia, saya percaya pada terapi makanan. Jadi saya akan menghantar makanan minggu ini kepada sesiapa yang memerlukan perkhidmatan ‘pick-me-up’, jadi bagitahu saya jika saya boleh bantu sesiapa”.

Bagaimanapun, pembuli tersebut menggunakan hal ity untuk mendakwa Sanjeevi sebagai bipolar yang “sangat kecewa selepas pilihan raya, tetapi (kemudian) menyediakan makanan untuk semua orang dan berasa sangat gembira”.

Saman itu menyatakan, dakwaan bipolar itu boleh memusnahkan masa depan Sanjeevi sebagai seorang juruterapi.

Pihak universiti menafikan dakwaan keluarga Sanjeevi.

“Saya harap USU tenung dalam-dalam ke arah cermin.

“Saya harap ia akan buat apa yang perlu untuk memastikan kepelbagaian diterima di situ … Dan saya juga berharap dapat membantu keluarga (Sanjeevi) di Malaysia dari segi keadaan kewangan mereka,” kata peguam yang mewakili keluarga tersebut, Richard Kaplan, seperti dipetik dalam laporan berita itu pada Jumaat.

USU menafikan dakwaan dalam saman berkenaan.

“Kes bunuh diri Jerusha Sanjeevi adalah sesuatu yang tragik dan mempunyai kesan yang besar terhadap jabatan psikologi dan juga seluruh universiti. Dia merupakan pelajar yang berpotensi, dan kematiannya memberi kesan mendalam kepada rakan-rakan pengajiannya, juga kepada kakitangan dan fakulti jabatan itu,” ulas jurucakap USU Amanda DeRito kepada The Herald Journal.

“Kami tak boleh dedahkan rekod pelajar yang sulit dan dilindungi, atau mengulas secara terperinci tentang kes ini, tapi kami menafikan sekeras-kerasnya fakta-fakta yang tuduhan dalam aduan tersebut. Kami percaya Utah State (University) telah mengambil segala tindakan yang sepatutnya untuk menangani isu antara pelajar-pelajar di jabatan itu”.

Semakan Malaysiakini di laman web universiti berkenaan mendapati seorang Jerusha Sanjeevi disenaraikan sebagai pelajar PhD di situ.

USU turut menyatakan bahawa mereka mengamalkan polisi tidak-mendiskriminasi: “USU tidak mendiskriminasi berdasarkan bangsa, warna kulit, agama, jantina, asal usul, umur, maklumat genetik, orientasi seksual atau identiti/ekspresi jantina, kecacatan, status sebagai veteran (tentera) yang dilindungi, atau sebarang status yang dilindungi oleh polisi universiti, atau oleh undang-undang tempatan, negeri, atau persekutuan”.

The Herald Journal melaporkan bahawa sepanjang pembulian tersebut, Sanjeevi meminta bantuan daripada anggota-anggota fakulti dan juga daripada Pejabat Tingkah Laku Pelajar universiti berkenaan.

Beberapa pertemuan dikatakan telah berlaku antara Sanjeevi dan salah seorang pelajar terlibat.

Bagaimanapun, campur tangan tersebut gagal menyekat pembulian daripada terus berlaku.

Sanjeevi juga dikatakan memberitahu salah seorang rakan pengajiannya, “Masalahnya, dia (yang didakwa sebagai pembuli) boleh saja terus-terusan menafikan yang dia memulakanya (pembulian).

“Sebab itu guna kaedah buli macam ini. Sebab dia tahu dia boleh terlepas … Saya tak tahu kenapa jabatan tak percaya pada saya. Saya tak tahu kenapa biarkan dia terus membuli pelajar, menjejaskan kewarasan seorang pelajar lain. Saya tak faham kenapa saya ini begitu tak penting di mata mereka.”

Sanjeevi turut mendakwa separuh daripada kehidupannya, dia bergelut dengan kemurungan, petik laporan itu lagi.

Dalam satu obituari dalam talian, Sanjeevi disifatkan sebagai seorang “tukang masak yang berbakat, seorang yang suka bergurau, lembut hati dan mempunyai minat mendalam terhadap keadilan sosial”.

Dia disenaraikan sebagai pernah bekerja dengan kanak-kanak pintar, selain kanak-kanak berisiko dan tidak berkemampuan semasa di Malaysia. Kemudian, di AS, dia pernah bekerja sebagai pekerja kesihatan mental.

[Baca berita asal]