Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Perbicaraan kes rasuah berjumlah RM144.6 juta melibatkan bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim akan bermula 25 september ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi membuat keputusan itu pagi ini selepas diberitahu pihak pendakwaan bahawa proses penukaran dokumen telah dibuat.

Beliau juga diberitahu Timbalan Pendakwa Raya Azlinda Ahad bahawa pihak pendakwaan akan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes Azeez dan abangnya, Abdul Latif yang didakwa bersubahat, ke Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, hakim kemudian memutuskan tarikh perbicaraan dimulakan sementara menunggu keputusan permohonan pemindahan kes itu.

Beliau kemudian memberitahu pihak pendakwaan dan pembelaan agar memaklumkan kepada mahkamah jika ada kemas kini berkenaan status permohonan tersebut.

Beliau juga menetapkan 11 Oktober sebagai hari kedua perbicaraan.

Azeez yang juga anggota parlimen Baling pada Januari lalu didakwa 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan RM144.6 juta.

Ia termasuk tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Azeez didakwa menerima RM5.2 juta daripada pengarah Menuju Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai habuan kerana membantu syarikat itu mendapat projek pembinaan lebuh raya dan penambahbaikan jalan di Perak dan Kedah.

Projek itu dianggarkan bernilai antara RM197.8 juta hingga RM664.48 juta, dan transaksi dikatakan berlaku antara Disember 2010 hingga April 2018.

Berkenaan dakwaan pengubahan wang haram, Azeez didakwa menerima dana haram bernilai sehingga RM139.41 juta daripada empat syarikat, iaitu Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd, dan AVP Engineering (M) Sdn Bhd.

Transaksi dikatakan berlaku di Lembah Klang, antara 10 Mac 2010 hingga 30 Ogos 2018.

Sementara itu, Latif didakwa bersubahat berkenaan suapan berjumlah sehingga RM4 juta berhubung projek lebuh raya bernilai RM644.48 juta.

Azeez dan Latif mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Lihat Komen
ADS