Menyifatkan Dr Zakir Naik sebagai tokoh yang berjasa besar dalam dakwah, Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi mencadangkan agar pendakwah itu sekali lagi dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah.

"Bumi Malaysia sangat bertuah kerana dihuni oleh insan yang bertuah ini.

“Bersempena tahun baru hijrah yang akan tiba tidak lama lagi, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan... agar beliau sekali lagi dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah sebagai satu penghargaan atas jasanya yang sangat besar kepada dunia Islam dan dakwah secara khususnya,” katanya di Facebook, hari ini.

Sambutan awal Muharam (tahun baru Hijrah) pada 2019 jatuh pada 9 September ini.

Untuk rekod, pendakwah warga India itu telah mendapat anugerah tersebut pada 2013. Pada tahun itu, beliau menerima anugerah itu bersama bekas menteri, Brigadier Jeneral (B) Abdul Hamid Zainal Abidin.

Setakat semakan Malaysiakini, setakat ini belum ada mana-mana individu menerima anugerah itu di peringkat kebangsaan sebanyak dua kali.

Zakir juga baru saja memberikan ucapan di hadapan kira-kira 30,000 hadirin di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu semalam, yang menjadi acara penutup program jelajahnya di Kelantan.

Muhammad Khalil Abdul Hadi

Mengulas kenyataan beberapa pihak agar kerajaan menghantar Zakir pulang ke India, Khalil yang juga Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS membangkitkan kisah Nabi Ibrahim yang dihalau pemerintah satu masa dulu.

"Baginda berhujah dengan ayahnya, kaumnya dan raja yang memerintah pada ketika itu iaitu Namrud dengan mengemukakan hujah-hujah aqliyyah yang tidak dapat dijawab oleh mereka.

"Lalu akhirnya Nabi Ibrahim a.s. dicampak ke dalam api dan setelah selamat daripadanya, baginda dihalau keluar dari bumi Iraq dan berhijrah ke Palestin.

“Inilah sejarah yang berulang, apabila hujah tidak dapat dijawab dengan hujah maka jalan kekasaran akan digunakan untuk menghalang kebenaran," katanya.

Zakir sering membuat perbandingan antara Islam dengan agama lain di pentas ceramah dan ia mencetuskan rasa tidak senang sejumlah orang bukan Islam.

Baru-baru ini, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan menyokong saranan seorang penulis, Anas Zubedy, agar Zakir secara sukarela meninggalkan Malaysia.

Kenyataan itu menerima kritikan sejumlah pihak, antaranya Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari yang berkata Lim tidak faham Perlembagaan Persekutuan dan beliau yang sepatutnya meninggalkan Malaysia.

Zakir sedang berdepan dakwaan pengubahan wang haram bernilai lebih 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta) "hasil jenayah di India dan di luar negara" dan kerajaan India berusaha membawanya pulang.

Hujung bulan lalu, Interpol dilaporkan menolak permohonan pihak berkuasa India ntuk mengeluarkan notis merah terhadap Zakir.