Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembaharuan pendidikan dikehendaki di sebalik pelbagai kontroversi
Diterbitkan:  Aug 10, 2019 6:26 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Kementerian Pendidikan terpalit dengan satu demi satu kontroversi, bermula dari pemakaian kasut hitam, isu kuota Matrikulasi dan isu pembelajaran Jawi di sekolah rendah.

Selepas 15 bulan Pakatan Harapan (PH) berkuasa, kini terdapat gesaan agar gabungan itu menunjukkan rancangan konkrit untuk melaksanakan pembaharuan pendidikan bagi memastikan Malaysia tidak terkesan dalam revolusi Industri 4.0.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, sewaktu pertemuan bersama dewan perdagangan antarabangsa turut mengakui sistem pendidikan Malaysia harus diselaraskan mengikut keperluan industri.

"Pendidikan tidak boleh lebih ke arah seni tetapi kepada sisi perindustrian.

“Sudah tentu, sistem di Jerman adalah sistem yang terbaik di mana satu pertiga masa dihabiskan di dalam kelas manakala satu pertiga lagi adalah mengenai pekerjaan,” katanya.

Selasa lalu, perkara sama turut disuarakan oleh bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin yang mengkritik cara kementerian pendidikan meletakkan keutamaan dalam penyelesaian sesuatu perkara.

"Sebagai langkah persiapan menghadapi Revolusi Industri 4.0, ilmu pengetahuan berkenaan ekonomi harus dipertingkatkan namun kementerian pendidikan tidak meletakkan keutamaan yang betul. Kementerian Pendidikan tidak harus menjadikan negara ini sebagai negara gagal.

"Kita masih terperangkap dalam retorik bahasa, sedangkan orang lain di sekeliling kita telah beralih dari bahasa Inggeris atau Mandarin atau Bahasa Malaysia ke bahasa pengaturcaraan dan pengkodan.

"Bilakah kita akan sedar bahawa kita sudah jauh ketinggalan di belakang,” kata Daim seperti dipetik The Edge Financial Daily.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz juga mengkritik kementerian pendidikan dalam memperbaiki sistem pendidikan.

"Jangan saratkan (sistem pendidikan) dengan subjek yang tidak perlu dan remeh," katanya ketika berucap di Yayasan Kepimpinan Perdana, Khamis lalu.

Kritikan tersebut dibuat susulan langkah kementerian pendidikan memperkenalkan enam halaman pembelajaran tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 4.

Namun begitu, ia dikurangkan kepada tiga halaman dan dijadikan pilihan kerana mendapat tentangan daripada masyarakat bukan Melayu.

Masyarakat bukan Melayu menganggap pembelajaran Jawi merupakan dasar Islamisasi dan kaitannya dengan agama Islam.

Lihat Komen
ADS