Malaysiakini BERITA

TMJ dimasyhur Pemangku Raja Johor

Alyaa Alhadjri  |  Diterbitkan

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan melantik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Raja Johor.

Istiadat pemasyhuran itu berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, menurut kicauan di akaun twitter milik Tunku Ismail kira-kira tiga jam yang lalu.

"DYAM Pemangku Raja telah diberikan kepercayaan oleh DYMM Sultan Johor untuk menjalankan tugas dan mentadbir Negeri Johor serta mempunyai semua kuasa yang diperuntukkan kepada raja dan boleh digunakan pada bila-bila masa," titahnya.

Bagaimanapun, menerusi pengumuman itu, tiada penjelasan jelas diberikan atas pelantikan tersebut.

Pemangku Raja kebiasaannya dilantik menjadi wakil ketika sultan sedang gering.

Sumber yang dekat dengan Istana Johor memberitahu Malaysiakini bahawa Sultan Ibrahim berada dalam keadaan sihat.

Bagaimanapun, kata sumber lagi, Sultan Ibrahim dijangka ke luar negara pada akhir bulan ini.

Sumber tersebut turut berkata, pelantikan tersebut berkemungkinan merupakan latihan buat Tunku Ismail yang pada suatu hari nanti bakal mewarisi kesultanan Johor daripada ayahandanya Sultan Ibrahim.

“Di bawah Undang-Undang Negeri Johor, Pemangku Raja mempunyai kuasa yang sama dengan Sultan.

“Exco dan menteri besar akan berjumpa dengannya (Tunku Ismail),” kata sumber menambah tiada had masa yang ditetapkan bagi pelantikan tersebut. 

[Baca berita penuh]