BERITA Malaysiakini

Sasterawan negara titip pesanan Konfucius buat Dong Zhong

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Empat sasterawan negara hari ini memetik tiga rangkap kata-kata mutiara daripada ahli falsafah agung China, Konfucius, dalam menyuarakan teguran mereka kepada Dong Zong.

Ia berkenaan isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular yang tegas dibantah pertubuhan pendidikan Cina itu.

Kata-kata pertama berbunyi ji suo bu yu, wu shi yu ren yang bermaksud "apa yang kita sendiri tidak menyukainya, jangan lakukan kepada orang lain”.

"Selama ini masyarakat Melayu boleh dikatakan tidak mencampuri perkembangan tulisan Cina. Apabila Dong Zong mengusik dan mencabar perasaan orang Melayu, pastilah orang Melayu tidak menyukainya," kata mereka.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Anwar Ridhwan, Baharuddin Zainal, Muhammad Haji Salleh dan Zurinah Hassan dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Dalam menggesa Dong Zong agar membatalkan petisyen mereka dan membuat kenyataan secara lebih berhati-hati, mereka memetik kata-kata li zhi yong, he wei gui yang bermaksud "cepat selesaikan urusan dan berhati-hati dalam pertuturan”.

"Dalam masyarakat berbilang bangsa, kepercayaan dan budaya, semua pihak harus mengelakkan isu sensitif yang boleh mencetuskan kemarahan pihak lain, yang boleh mengakibatkan huru-hara.

"Dalam hal ini, kami ingin sekali lagi memetik mutiara kata Konfucius, 'keamanan adalah satu-satunya dalam tata adab' (li zhi yong, he wei gui )," kata mereka lagi.

Konfucius yang hidup pada 551–479 Sebelum Masihi merupakan antara tokoh falsafah terunggul daripada China. Kata-kata dan ajarannya yang dikumpul dalam Analects menjadi rujukan buat masyarakat Cina dan juga orang lain sehingga zaman kini.

Pada 10 Ogos lalu, Dong Zong melancarkan petisyen bantahan terhadap pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Ia di sebalik kompromi oleh Kementerian Pendidikan yang antaranya menjadikannya sebagai pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Dua hari kemudian, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melabelkan Dong Zong sebagai "rasis" kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk "Islamisasi".

Dong Zong bagaimanapun berkata bukan pihaknya saja yang membantah pengenalan tulisan Jawi, tetapi juga pertubuhan bukan Islam yang lain dan sejumlah tokoh Melayu seperti bekas menteri Rafidah Aziz.