Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Bersatu: Masalah tak selesai dengan tukar PM
Diterbitkan:  Aug 14, 2019 9:14 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Masalah negara tidak akan selesai hanya dengan menggantikan Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin lain sebagai perdana menteri, kata Pemuda Bersatu.

Ketua penerangannya Ulya Aqamah Husamudin mengulas kenyataan Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim bahawa sudah tiba masanya Mahathir memberi laluan kepada Anwar.

Bekas pengerusi PKR Johor itu berkata, ini kerana Mahathir seperti hilang punca dan hilang daya dalam menyelesaikan beberapa isu kritikal negara.

Ulya mengingatkan Hassan berkenaan konsep tanggungjawab bersama dalam pentadbiran, setiap keputusan kerajaan diputuskan jemaah menteri maka tidak adil untuk meletakkan beban kepada Mahathir sahaja.

"Menukar perdana menteri bukan penyelesaian. Masalah perkauman dan isu-isu yang berbangkit hari ini perlu diselesaikan dengan penuh hikmah dan tolak ansur antara pemegang taruh dan parti komponen.

"Hanya dengan menukar perdana menteri daripada Mahathir kepada, masalah-masalah ini tidak akan selesai dengan ajaibnya. Semua pimpinan sepatutnya menggembleng tenaga dan merapatkan saf bagi menghadapi ujian ini," katanya dalam kenyataan.

Sebelum PRU ke-14, parti komponen Pakatan Harapan (PH) setuju bahawa Anwar akan menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri tetapi tiada tempoh khusus ditetapkan untuk peralihan kuasa tersebut.

Lihat Komen
ADS