Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gesaan Dr M berundur tak selari hasrat rakyat - MP PKR
Diterbitkan:  Aug 14, 2019 10:15 PM
Dikemaskini: 2:23 PM

Polemik mengenai peralihan kuasa terus berlarutan apabila Anggota Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim hari ini menggesa Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berundur dan melepaskan jawatannya kepada Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan balas, Anggota Parlimen Batu Pahat Rashid Hasnon membantah gesaan itu dan menyifatkannya sebagai tidak selari dengan hasrat rakyat.

"Gesaan berundur dengan mendakwa kepimpinan longlai serta mudah diserang isu sensitif mutakhir ini memperlihatkan situasi politik tidak stabil di kalangan gabungan parti Pakatan Harapan.

"Ini sekali gus mencemar hubungan setiakawan sejak awal gabungan ini dibina hinggalah membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan.

"Saya melihat kenyataan ini adalah tidak selari dengan hasrat majoriti Rakyat Malaysia yang telah memberi mandat kepada kerajaan Pakatan Harapan pada PRU lalu," katanya dalam kenyataan media.

Hassan dan Rashid kedua-duanya merupakan anggota parlimen dari PKR.

Terdahulu, Hassan mencadangkan Dr Mahathir meletak jawatan selepas mendakwa perdana menteri seperti hilang punca dan hilang daya dalam menyelesaikan beberapa isu kritikal negara.

Hassan berkata cadangannya agar Anwar menggantikan Mahathir dibuat demi kepentingan PH yang ketika ini berdepan isu-isu membabitkan bangsa, agama dan raja-raja Melayu.

Beliau turut mengimbas semula usaha Anwar membina gabungan parti pembangkang dalam menghadapi PRU12 pada tahun 2008 dan buat pertama kalinya BN hilang kuasa di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan.

“Anwar Ibrahim muncul sebagai tenaga yang menyatukan parti-parti pembangkang pelbagai kaum dan agama," katanya.

Untuk rekod, pentadbiran Mahathir sejak kebelakangan ini diselubungi beberapa isu kontroversi, antaranya isu video seks yang didakwa membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, isu penulisan Jawi di sekolah vernakular dan bantahan terhadap pendakwah antarabangsa, Zakir Naik.

Situasi itu menyebabkan berlakunya ketidaksefahaman di kalangan pimpinan dalam komponen PH.

'Jangan gelojoh'

Bagaimanapun menurut Rashid, persetujuan agar Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 telah dimeterai dan Mahathir diberi masa cukup untuk memastikan pentabdiran kerajaan PH dalam keadaan stabil sebelum peralihan kuasa berlaku.

"Janganlah bertindak gelojoh hingga memberi gambaran salah, berlaku persaingan buruk di kalangan gabungan parti Pakatan Harapan.

"Majoriti rakyat yang memberi mandat dan kepercayaan tinggi kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk memulihkan negara dan jaminan masa depan rakyat Malaysia sebagai keutamaan.

"Bukan usaha yang mudah untuk mengikat kekuatan dua tokoh politik hebat negara Tun Dr Mahathir Mohammad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga terukir sejarah kemenangan Pakatan Harapan dan membenam kerajaan korup Barisan Nasional yang telah memerintah negara sejak merdeka," katanya.

Lihat Komen
ADS