Paling Popular
Terkini

Pejabat pendakwa raya Paris membuka siasatan jenayah ke atas kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin, 15, yang mayatnya ditemui berhampiran sungai Selasa lalu.

Mayat Nora Anne ditemui 10 hari selepas dia hilang dari resort di Seremban.

Polis memaklumkan bahawa bedah siasat bermula yang bermula sejak pagi semalam belum selesai dan ahli patologi forensik masih berusaha untuk menentukan punca kematian Quoirin.

Pendakwa raya Paris pada 9 Ogos lalu membuka siasatan kes berkenaan sebagai penculikan, kata jurucakap yang memaklumkan Reuters.

Pendakwa raya Perancis kerap melancarkan siasatan ke atas kes-kes yang melibatkan warga Perancis di luar negara.

Ibu Nora berasal dari Belfast sementara ayahnya merupakan orang Perancis.

Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop enggan mengulas mengenai siasatan pihak berkuasa Perancis.

Peguam keluarga Nora Anne, Sankara N Nair sebelum ini meminta polis untuk menerima tawaran oleh Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian untuk membantu menyiasat keadaan kematian gadis tersebut.

"Ini satu cadangan yang sangat baik, saya harap polis akan menerima bantuan itu," kata Nair kepada Reuters.

Mayat Nora Anne ditemui kira-kira 2.5km dari resort The Dusun, tempatnya didapati hilang sehari selepas keluarganya tiba untuk bercuti di resort berkenaan pada 3 Ogos.

Keluarga Nora Anne sebelum ini menyatakan kebimbangan berlaku jenayah dalam kehilangan anak mereka.

Siasatan awal mendapati tiada bukti jenayah tetapi polis akan melihat semua kemungkinan, kata Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor pada Selasa lalu.

- Reuters

Lihat Komen
ADS