Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Kluang patut dinobat ibu segala lucah, kata Asyraf
Diterbitkan:  Aug 17, 2019 5:56 PM
Dikemaskini: 3:36 PM

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi mengecam Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi yang menggunakan contoh pornografi dalam memberi penjelasan penggunaan tulisan Jawi di luar skop agama Islam.

Berucap di hadapan lebih peserta Himpunan Selamatkan Negaraku di Taman Tasek Kluang, Johor, Asyraf menyifatkan penjelasan ahli parlimen DAP itu berhubung isu berkenaan bukan saja menghina tulisan Jawi, tapi juga masyarakat Cina.

"Saya ada ramai kawan Cina, tak pernah saya tahu orang Cina ini mempunyai otak lucah melainkan Wong Shu Qi. Beliau patut dinobatkan ibu segala lucah di negara kita," katanya.

Rakaman program itu disiarkan di Facebook Pemuda Umno Tebrau.

Asyraf turut menggesa Wong memohon maaf secara terbuka dan meletakkan jawatan.

"Wong Shu Qi perlu meminta maaf secara terbuka kepada orang Melayu kerana menghina Jawi.

"Kedua, kepada masyarakat Cina kerana mengaitkan masyarakat Cina dengan otak lucah," katanya.

 Wong sebelum ini menjadi sasaran kritikan selepas menggunakan contoh bahan bacaan pornografi bagi menjelaskan kepada masyarakat Cina tentang penggunaan tulisan Jawi di luar skop agama Islam.

Wong kemudian mendakwa ucapannya dalam dialog dengan Persatuan Tiong Hwa Kluang pada 9 Ogos di Kluang, Johor itu diputar belit dan dipetik luar konteks oleh MCA dan Umno dengan niat jahat.

Wong menjelaskan bahawa beliau cuba menerangkan kepada hadirin dialog itu bahawa tulisan Jawi telah digunakan untuk menulis pelbagai jenis bahan bacaan dalam bahasa Melayu serta tidak terhad kepada penulisan agama Islam sahaja.

"Semua ini bertujuan untuk menjelaskan kekeliruan bahawa pengenalan tulisan Jawi oleh Kementerian Pendidikan ialah suatu taktik pengislaman," kata Wong.

Dalam perkembangan berasingan, Asyraf dalam ucapannya memaklumkan bahawa Umno dan PAS akan mengadakan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur dalam masa akan datang.

"Kita akan zahirkan cinta pada Malaysia di dalam perhimpunan lebih besar. Bermula dari Kluang, kita akan bergerak ke seluruh Malaysia. Kita akan gerakkan NGO, bukan saja Umno-PAS.

"Kita akan pastikan, kita bergerak dari satu bandar ke bandar. Sebelum nantinya, kita akan buat satu perhimpunan raksasa seperti himpunan rakyat di Kuala Lumpur tahun lepas.

"Kita akan zahirkan solidariti rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum atas tema - Selamatkan Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS