Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS, Umno peralat Zakir Naik untuk agenda politik - Khalid Samad

PAS dan Umno menggunakan isu Dr Zakir Naik sebagai agenda politik mereka dengan memperalatkan pendakwah kontroversi itu, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

“Mereka (PAS dan Umno) ada agenda politik, mereka hanya mahu peralatkan Zakir Naik sahaja,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri majlis sesi Town Hall bersama pemilik tanah kawasan Kampong Bharu, Kuala Lumpur, hari ini.

Khalid berkata, tidak wajar bagi sebuah parti politik Islam untuk mempergunakan Zakir dan melibatkan pendakwah itu dalam politik tempatan.

“Amat malang sebab ada parti politik Islam yang bercakap mengenai Islam tetapi hendak ‘memperkudakan’ Zakir Naik dengan libatkan dia dengan politik tempatan.

“Kalau kita fikir kepentingan Zakir Naik, kita tidak akan gunakan dia untuk agenda politik tempatan,” katanya.

PAS dan Umno sebelum ini dilihat membela Zakir yang dilapor mencetuskan kontroversi berhubung kenyataannya terhadap masyarakat bukan Islam di negara ini.

Zakir bagaimanapun mendakwa kenyataannya mengenai masyarakat beragama Hindu dan kaum Cina di Malaysia telah dipetik di luar konteks.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata hak pendakwah terkenal itu sebagai saudara Islam mengatasi hak warga negara dan negara.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa pula meminta kenyataan pendakwah itu tidak diputarbelitkan.

Manakala anggota jawatankuasa PAS pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan hanya umat Islam munafik sahaja bersetuju menghalau pendakwah Islam tersohor itu.

Sementara itu, Kedah menjadi negeri kedua mengikut jejak langkah Perlis melarang pendakwah berkenaan berceramah di negeri itu, susulan kenyataannya.

Bagaimanapun, PAS Kedah hari ini membidas larangan itu dengan menyifatkan Zakir sebagai amanah Allah untuk umat Islam dan aset berharga di negara ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata kerajaan PH wajar mengelakkan Zakir daripada terus dipergunakan PAS dan Umno.

“Kita (kerajaan) jangan biar Zakir terus dipergunakan. Kita perlu berbeza dari PAS dan Umno.

“Kerajaan juga harus menasihati Zakir agar tidak mencampuri urusan politik tempatan,” katanya.


Lihat Komen
ADS