Timb menteri gesa AGC segera buat keputusan kes rogol exco DAP
Timbalan Menteri Wanita, Keluarga, dan Pembangunan Masyarakat Hannah Yeoh menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membuat keputusan dengan segera berhubung dakwaan kes rogol melibatkan exco DAP Perak Paul Yong Choo Kiong.
Laporan polis kes berkenaan dibuat pada 8 Julai lalu dengan kertas siasatan dipulangkan oleh AGC kepada polis beberapa kali untuk dilengkapkan.
"Rogol satu jenayah yang serius. Kami (pemimpin DAP) sudah katakan sebelum ini dan kami akan katakan sekali lagi - semoga keadilan ditegakkan dan kami menggesa AGC membuat keputusan secepat mungkin memandangkan keseriusan dakwaan ini," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Yeoh turut berkongsi pautan laporan berita yang menyatakan polis pada Jumaat lalu menyerahkan kertas siasatan sekali lagi kepada AGC.
Pembantu rumah Yong sebelum ini mendakwa Adun Tronoh itu membuat serangan seksual terhadapnya.
Yong menafikan salah laku dan dibebaskan atas jaminan polis sementara siasatan dijalankan.
Yong masih bertugas sebagai exco yang bertanggungjawab ke atas perumahan, kerajaan tempatan, pengangkutan awam, hal ehwal bukan muslim dan kampung baru.
Kes berkenaan turut mendapat perhatian kedutaan Indonesia.




