Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramasamy mahu bersemuka dengan Zakir di mahkamah
Diterbitkan:  Aug 20, 2019 11:38 AM
Dikemaskini: 3:39 AM

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berkata beliau akan berdepan dengan Dr Zakir Naik di mahkamah dan berharap penceramah kontroversi itu masih ada dalam negara ini ketika kes itu dibicarakan.

"Saya akan bersemuka dengan Zakir di mahkamah... Satu-satunya harapan saya ialah dia masih ada di sini ketika kes itu dibawa di mahkamah," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Maklum dengan permohonan maaf oleh Zakir, Ramasamy berkata beliau tidak akan meminta maaf kepadanya dan dalam isu Zakir, "perkataan maaf tiada dalam kamusnya".

"Dia ialah orang terakhir dalam dunia yang patut meminta orang lain meminta maaf atas kekalutan yang dicetuskannya di India dan Malaysia."

Semalam Ramasamy, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago, Adun Bagan Dalam Satees Muniandy dan bekas duta Dennis J Ignatius, mendapat surat tuntutan guaman daripada peguam Zakir agar memohon maaf kepada penceramah itu dalam tempoh 48 jam jika enggan berdepan saman di mahkamah.

Tuntutan itu daripada tetuan Akberdin & Co dan bertarikh 19 Ogos 2018.

Ramasamy berkata lagi, tiada kerajaan yang baik akan membenarkan pelarian dari luar untuk mengambil kesempatan terhadap sambutan yang diberi.

"Zakir Naik ialah beban besar kepada negara, kita sudah ada masalah sedia ada dan perkara terakhir yang diperlukan ialah seseorang seperti Zakir untuk terus mengganggu kestabilan hubungan kaum dan sosial kita.

"Usir dia atau minta dia pulang ke India atau ke mana-mana negara yang sanggup memberikan suaka kepadanya," katanya lagi.

 

Lihat Komen
ADS