Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hadi: Bertindak pada pihak mulakan polemik Zakir
Diterbitkan:  Aug 23, 2019 5:55 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyeru pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang memulakan polemik pendakwah kontroversi Zakir Naik dan menjadikannya isu politik.

"Mereka gagal memahami dan menyampaikan Islam melalui wacana akademik (dan menyembunyikan) kegagalan mereka atau ketidakupayaan untuk melawan (hujah Zakir) dengan mengubah (isi kandungan ceramah itu) menjadi isu politik.

"Kami telah memberitahu kerajaan tentang kebimbangan kami dan kini kami juga akan berdoa kepada Allah supaya mendengar doa kami.

"Jika kerajaan mengusirnya, ia mencerminkan kebodohan dan kelemahan kita. 

"Tetapi perkara itu menjadi satu polemik apabila DAP dan Malaysiakini memainkan isu itu,” katanya seperti dipetik oleh NST.

Presiden PAS itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di masjid Rusila di Marang, Terengganu, petang ini.

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Zakir, semasa berceramah di Kelantan pada 8 Ogos lalu telah mencetuskan kontroversi apabila mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu warga negara Malaysia.

Ketika mengulas pertuduhannya di India, Zakir telah berkata rakyat Malaysia beragama Hindu lebih menyokong kerajaan India berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga telah membuat beberapa kenyataan mengenai orang Cina Malaysia memanggilnya sebagai "tetamu lama."

Hal itu mencetuskan desakan supaya dia dihantar pulang ke India.

Untuk rekod, Zakir telah memohon maaft serta menafikan semua tuduhan terhadapnya dan mendakwa kenyataannya mengenai orang Cina dan India rakyat Malaysia telah dipetik di luar konteks ucapannya.

Sesetengah pihak juga telah menuduh Malaysiakini memutarbelitkan kenyataan pendakwah tersebut.

Malaysiakini menafikan tuduhan tersebut dan telah menghasilkan rangkuman penjelasan mengenai perkara itu.

Sebarang artikel yang meminta Zakir dihantar pulang adalah pendapat ahli-ahli politik yang telah membuat kenyataan sedemikian dan bukannya daripada Malaysiakini.

Sementara itu, Hadi memuji Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana berpendirian tegas dalam keputusannya untuk tidak mengusir Zakir ke India.

Semalam, Mahathir berkata buat masa ini Zakir tidak akan dihantar pulang ke India.

Bagaimanapun, Mahathir sebelum ini berkata Zakir melampaui batas apabila beliau menyentuh politik perkauman.

Mahathir juga berkata status Zakir yang bertaraf Pemastautin Tetap (PR) Malaysia bergantung kepada keputusan siasatan polis.

Zakir dikehendaki oleh pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang haram, yang mana pendakwah itu menafikannya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS