Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Krisis dalaman secara terbuka melibatkan parti PH didakwa Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, kini mewujudkan kemelayuh (gangrene) politik.

Kata Ahmad Zahid fenomena baru itu bermaksud PH mengalami kematian secara senyap dan halus.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, ketika ini PH bersugguh-sungguh cuba meletakkan imej dalam minda rakyat bahawa mereka adalah relevan dengan kehendak semasa.

Namun, katanya, pada realitinya keadaan jauh berbeza daripada apa yang diuar-uarkan.

"Mereka masing-masing memasang strategi untuk menguasai satu sama lain.

"Keadaan ini suatu fenomena baru dalam fasa kewujudan PH iaitu gangrene (kelemayuh) politik,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung MIC ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis itu turut menarik perhatian apabila dihadiri salah seorang pemimpin paling kanan PAS, iaitu ketua ulama mereka, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Tidak ketinggalan beberapa pemimpin kanan BN termasuk setiausaha agung Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong; dan bekas presiden MIC, S Samy Vellu.

Kata Ahmad Zahid kematian politik di PH semakin menjadi kenyataan kerana gabungan itu dilanda konflik dan krisis kepercayaan dalam kalangan pemimpin dan anggota dari semasa ke semasa.

Ahmad Zahid juga mendakwa ketika ini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersendirian dalam PH kerana Presiden PKR Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang aktif membuat perancangan strategi menolak kepimpinan beliau.

“Tidak mustahil PH dalam masa terdekat ini akan menamatkan riwayatnya dalam senyap kerana itulah akibatnya,” katanya.

Ahmad Zahid - yang kini berdepan puluhan dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa di mahkamah - menyeru anggota MIC agar meyakinkan masyarakat India bahawa parti itu amat setia dalam perjuangan bersama iaitu mahukan kesejahteraan untuk rakyat.

Lihat Komen
ADS