Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganjur: Jual tiket sebelum konsert diluluskan perkara biasa

Penganjur konsert penyanyi dari India SP Balasubrahmanyam pada 31 Ogos ini - hari sama dengan sambutan Maal Hijrah - berkata langkah menjual tiket sebelum persembahan mendapat kelulusan adalah amalan biasa.

“Kami tidak ingin membesar-besarkan kenyataan Puspal (Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara) yang mendakwa kami mula menjual tiket sebelum mendapatkan kelulusan untuk konsert tersebut.

“Tapi itu satu perkara biasa. Tahun lepas pun kami mula menjual tiket sebelum mendapatkan kelulusan,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Puspal yang antara lain mengkritik pihak penganjur kerana berbuat demikian.

Puspal adalah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang memberi kelulusan untuk persembahan artis dari luar negara.

Dalam satu kenyataan media, Puspal juga berkata permohonan penganjur untuk mengadakan konsert tersebut pada 31 Ogos ini pada mulanya ditolak atas nasihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Namun waktu baru ditetapkan iaitu pada pukul tiga petang - berbanding rancangan asal iaitu tujuh petang - selepas penganjur membuat rayuan atas dasar mereka telah pun membuat jualan tiket.

Kata Puspal lagi, penganjur yang menjual tiket sebelum konsert diluluskan berbuat demikian atas risiko sendiri.

Mengulas lanjut, Dinesh Kumar berkata mana-mana pihak yang ingin menganjurkan persembahan boleh membuat permohonan dalam masa 14 hari sebelum ia berlangsung.

“Biasanya tidak akan ada penolakan daripada Puspal. Tapi kali ini lain sikit.

“Konsert kami bersamaan dengan Awal Muharam. Kami menghormati perayaan tersebut dan menukar waktu persembahan kepada lebih awal,” katanya lagi.

SP Balasubrahmanyam, atau lebih dikenali sebagai SPB, ialah penyanyi, pengarah muzik dan komposer terkenal dari india. Dia kini berusia 73 tahun.

Selain konsert itu, persembahan penyanyi Taiwan Bobby Chen turut diadakan pada hari sama di Stadium Melawati Shah Alam. Persembahannya diawalkan ke pukul 12 tengah hari dari jadual asal 7.30 malam.

Lihat Komen
ADS