Bekas menteri BN, Zaid Ibrahim, hari ini mengingatkan, penting bagi seseorang ahli politik supaya tidak mengorbankan nilai-nila teras semasa menguruskan isu berkaitan kaum dan agama.

Kata Zaid dalam keadaan negara ini yang bergelut untuk memiliki identiti dan cuba membina perpaduan, rakyat memerlukan pemimpin yang berprinsip teguh.

"Jika tidak, kamu menjadi Donald Trump. Kamu menjadi perosak, bukan pencipta keamanan dan kestabilan," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Zaid merujuk kepada presiden ke-45 AS, Trump, yang dikenali dengan pelbagai dasar kontroversi sejak dilantik ke jawatan itu pada 20 Jan 2017.

Terdahulu Zaid memberikan pandangannya terhadap klip video sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 memaparkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang berkata menguruskan isu-isu sensitif di antara kaum adalah antara tugas paling sukar dihadapinya.

Kata Zaid, beliau memahami kesulitan dihadapi pemimpin berusia 94 tahun itu kerana perlu menguruskan negara yang memiliki kepelbagaian bangsa dan agama.

"Tetapi kita tahu sesetengah kumpulan sengaja mencipta kemarahan untuk menghalalkan tindakan mereka," katanya.

Justeru, kata Zaid yang pernah bertugas sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal undang-undang, perlu untuk pemimpin negara ini menentukan batas yang dibenarkan kepada rakyat, terutama apa yang boleh dan tidak boleh dibangkitkan atau dilakukan golongan minoriti.

"Kecuali kita mengakui dan bersetuju dengan apa yang mereka boleh lakukan, kita akan sentiasa tertakluk kepada kehendak majoriti.

"Sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab akan melindungi kumpulan minoriti dengan semangat yang sama seperti mereka melindungi pihak majoriti," kata anggota DAP itu.

[Baca berita penuh]