Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan SPRM memfailkan pindaan ‘notis usul’ untuk saman bagi pelucuthakan berkaitan 1MDB terhadap Umno Pekan dalam tempoh tujuh hari, bermula hari ini.

Jika tidak, tindakan undang-undang itu akan diketepikan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu kerana saman itu tidak menamakan penjawat-penjawat utama dalam Umno Pekan sebagai responden.

Difahamkan bekas perdana menteri merangkap anggota parlimen Pekan Najib Razak memegang jawatan dalam Umno bahagian itu.

Najib sedang berdepan beberapa pertuduhan jenayah berkaitan skandal 1MDB.

Nazlan sebelum ini menolak permohonan Umno Pekan untuk mengetepikan saman itu atas alasan notis itu gagal mematuhi Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan.

Peruntukan itu menyebut tindakan undang terhadap sesuatu pertubuhan mesti menamakan penjawat kanannya sebagai responden.

Dalam keputusan lisanm, Nazlan berkata walaupun SPRM gagal menamakan penjawat kanan Umno Pekan, ia tidak menjejaskan tindakan utama suruhanjaya itu.

[Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan Umno Bahagian Pekan hari ini gagal membatalkan notis lucut hak terhadap wang berjumlah RM700,000 yang dibekukan berhubung penyiasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Umno Bahagian Pekan itu yang diwakili peguam M Reza Hassan untuk membatalkan notis lucut hak yang difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mahkamah menolak permohonan pemohon (Umno Bahagian Pekan). Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan pendakwaan meminda penama dalam notis lucut hak mengikut Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966,” katanya semasa sebutan kes itu.

Mahkamah memberi tempoh tujuh hari bermula hari ini untuk pihak pendakwaan meminda penama dalam permohonan notis lucut hak terhadap wang RM700,000.

Hakim Mohd Nazlan mengarahkan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dari SPRM untuk meminda nama Umno Bahagian Pekan kepada nama pemegang jawatan dalam notis berkenaan dan menetapkan 6 Sept untuk pengurusan kes.

Pada 23 Ogos lepas, Umno Bahagian Pekan membantah notis warta yang difailkan pendakwaan atas alasan pendakwaan telah menamakan pihak yang salah.

Oleh itu parti tersebut memohon membatalkan permohonan lucut hak terhadap wang berkenaan yang dibekukan.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Najib Razak.