Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
#QuranHour tak babitkan murid bukan Muslim
Diterbitkan:  Aug 30, 2019 5:32 PM
Dikemaskini: Aug 31, 2019 1:31 AM

Nota editor: Berita ini dilaporkan berdasarkan kenyataan yang dimuat naik oleh timbalan menteri pendidikan di Facebook beliau.

Murid bukan Muslim dikecualikan daripada kempen #QuranHour yang sedang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Teo berkata dia mendapatkan penjelasan daripada jabatan pendidikan susulan laporan Sin Chew Daily berhubung surat pekeliling jabatan berkenaan kempen berkenaan yang diberikan kepada guru besar sekolah vernakular.

"Berdasarkan penjelasan mereka, kempen ini bermula pada 2015 dan tidak membabitkan murid bukan Muslim," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Tambah Teo, guru pendidikan Islam di sekolah vernakular akan mengadakan kelas agama kepada murid Muslim sebagai sebahagian daripada kempen itu, seperti tahun sebelumnya.

Menurut laporan Sin Chew semalam, guru besar sekolah Cina terperanjat selepas menerima surat pekeliling tersebut. Laporan tersebut bagaimanapun tidak memetik ulasan jabatan pendidikan negeri mahupun kementerian.

Surat bertarikh 28 Ogos itu memaklumkan kepada guru besar bahawa kempen tersebut boleh diadakan pada masa yang sesuai dan tujuannya adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia berinteraksi dengan Quran sebagai "bangsa yang merdeka".

Berdasarkan dokumen yang didedahkan oleh Sin Chew, ia bukanlah arahan, dengan perenggan ketiga meyatakan bahawa sekolah "digalakkan" untuk mengambil bahagian dalam kempen itu.

Surat itu ditandatangani oleh penolong pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Ahmad Hamizi Abu Hassan.

Akhbar berbahasa Cina itu turut melaporkan bahawa beberapa guru besar sekolah Cina akan menganjurkan kempen 'patriotik' menggantikan #QuranHour.

Isu berkenaan menarik perhatian selepas kontroversi melibatkan kumpulan pendidikan Cina dan Tamil menolak pengenalan tiga muka surat tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah Empat.


Lihat Komen
ADS